suria

Dua Penjawat Awam Antara Lapan Ditahan SPRM

KANGAR: Dua penjawat awam antara lapan individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarahnya Yusof Shamsuddin berkata dua penjawat awam itu merupakan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seorang anggota polis yang masing-masing membabitkan suapan sebanyak RM1,300 dan RM4,000.

Enam lagi individu yang ditahan merupakan tiga rakyat asing yang cuba memberi suapan antara RM100 dan RM200 kepada penjawat awam kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tiga individu lagi adalah kakitangan syarikat swasta.

"SPRM Perlis menerima 108 maklumat sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini dan 10 kertas siasatan telah dibuka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan nota serah tugas antara beliau dan Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan SPRM Kedah, Alias Darus yang bakal menggantikan tempatnya mulai Jumaat.

Yusof yang memulakan tugas di SPRM Perlis sejak 1 Februari 2009 akan menjadi Pengarah SPRM Kedah mulai Jumaat.

Majlis serah tugas itu disaksikan Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Sharuddin Sapian.

Yusof berkata sepanjang tahun 2010, sebanyak 20 kertas siasatan telah dibuka daripada 189 maklumat yang diterima manakala empat individu ditangkap termasuk seorang pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan Polis manakala selebihnya ialah orang awam. -BERNAMA

Artikel Lain