suria

300 Peserta Program Fulbright Dihantar Ke Malaysia Mulai Tahun Depan

WASHINGTON: Kira-kira 300 lepasan ijazah rakyat Amerika Syarikat (AS) akan berkhidmat secara sukarela di sekolah-sekolah terpilih di Malaysia termasuk kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif itu akan dilaksanakan di bawah program Sistem Pengajaran Inggeris Fulbright yang dipersetujui antara kerajaan Malaysia dan pentadbiran AS.

Muhyiddin berkata dalam pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama pada tahun lepas, telah dicadangkan agar program ala Peace Corps dibawa ke Malaysia bertujuan membantu meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris.

Susulan itu, Muhyiddin berkata beliau sendiri telah mengadakan banyak perbincangan termasuk di peringkat kementerian dan kedutaan dan selepas pertemuannya dengan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton di Kuala Lumpur dan Washington, telah diputuskan program pengajaran Bahasa Inggeris diteruskan tetapi bukan ala Peace Corps tetapi program Fulbright.

Bercakap kepada wartawan Malaysia pada Selasa yang membuat liputan sempena lawatan kerja empat hari beliau ke Washington bermula Ahad, Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai kanan pentadbiran AS yang ditemui pada lawatannya kali ini bahawa 50 peserta program Fulbright akan dihantar ke Malaysia buat permulaan pada awal tahun depan.

Beliau berkata peserta program Fulbright akan terlibat dalam pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah yang akan dilaksanakan dalam kaedah yang inovatif serta menyeronokkan.

"Kita nak reka program yang menyeronokan dan menokok tambah daripada program yang sedia ada supaya pelajar lebih berminat bertutur dalam Bahasa Inggeris, boleh berinteraksi dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Katanya kehadiran peserta program Fulbright tidak akan mengakibatkan perubahan pada jadual waktu sekolah sedia ada.

"Jadual waktu sedia ada tidak akan berubah, jadi sebab itu akan ada satu bentuk (pengajaran) yang lebih inovatif untuk gunakan waktu yang ada, kalau boleh dibincangkan dengan guru bagaimana mengeja, menyebut dan sebagainya," katanya.

Muhyiddin berkata kementerian akan menetapkan sekolah-sekolah yang akan dipilih bagi penempatan peserta program Fulbright. "Sebelum mereka ditempatkan di mana-mana zon untuk bantu sekolah terlibat, kita akan adakan program orientasi untuk beberapa minggu supaya mereka lebih kenal adat budaya, adat resam kita," katanya.

Muhyiddin berkata projek perintis bagi program Fulbright itu bagi melihat keberkesanannya tidak perlu diadakan kerana Terengganu telah menjalankan 17 program itu atas inistiatif sendiri.

"Daripada maklum balas yang kita terima, ia mendapat sambutan yang amat baik, disukai pelajar dan mereka dapati peserta Fulbright bersungguh-sungguh dan bijak berinteraksi dalam bahasa Inggeris. Ini telah menyebabkan Bahasa Inggeris mereka bertambah baik," katanya.

Beliau berkata meskipun program itu ditaja oleh AS untuk rakyatnya membantu program pengajaran Bahasa Inggeris secara sukarela namun kerajaan Malaysia memutuskan untuk membiayai sebahagian kos seperti tempat tinggal.

"Ini adalah respons kita, ini bukan AS yang minta tetapi PM fikir beri mereka sumbangan kecil. Ini sumbangan kecil kita," katanya sambil menambah kerajaan menyediakan peruntukan RM1.4 juta kepada badan yang akan menguruskan penghantaran 300 peserta di bawah program itu.

Beliau berkata satu memorandum persefahaman (MoU) dijangka dimeterai antara Malaysia dan AS bagi mengenalpasti ruang kerjasama dan terma rujukan bagi pelaksanaan program Fulbright itu sebelum akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain