suria

30 Peratus Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat Mesti Wanita

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan kelulusan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat yang diusulkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menurut beliau, keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat jemaah menteri pada minggu lalu merupakan pengiktirafan daripada kerajaan ke atas sumbangan dan peranan yang dapat dimainkan oleh kaum wanita yang berkelayakan di negara ini.

"Untuk mencapai matlamat ini, pihak korporat diberi tempoh peralihan selama lima tahun bagi meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan tertinggi di syarikat masing-masing," katanya pada sidang media pembabitan wanita dalam sektor korporat di lobi Parlimen pada Isnin.

Najib berkata, tempoh peralihan selama lima tahun itu merupakan satu jangka masa yang munasabah kepada setiap syarikat untuk mengambil tindakan proaktif agar sasaran tersebut menjadi kenyataan.

"Kelulusan dasar ini adalah kesinambungan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam yang telah diumumkan kerajaan pada 2004," ujarnya.

Jelas beliau, hasil pelaksanaan dasar itu, penglibatan wanita yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) meningkat kepada 32.3 peratus pada tahun lalu berbanding 18.8 peratus pada 2004.

"Pencapaian wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam amat memberangsangkan. Kalau kita dapat meningkatkan bilangan wanita berkelayakan dan mengenal pasti bakat, Insya-Allah matlamat bagi sektor korporat akan tercapai.

"Saya suka menyatakan bahawa pada masa ini hanya 91 orang atau 13 peratus wanita telah menduduki kerusi lembaga pengarah pada 2010 di syarikat Menteri Kewangan. Daripada 200 buah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia, hanya 7.6 peratus wanita mengisi jawatan tertinggi itu," ujarnya.

Sebagai usaha untuk merealisasikan matlamat ini, Najib berkata, KPWKM akan bekerjasama dengan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk merangka program latihan bagi menyediakan wanita yang berpotensi menjadi lembaga pengarah.

Sementara itu, Menteri KPWKM, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pelaksanaan dasar itu merupakan era baru serta pencetus kepada penglibatan lebih ramai wanita untuk mengisi jawatan tertinggi dalam sektor korporat.

Beliau yakin dasar itu tidak akan menjejaskan pasaran sekuriti malah membantu dalam memberi kepelbagaian dalam komposisi lembaga pengarah ke arah peningkatan produktiviti dan keuntungan syarikat.

"Pelbagai kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa syarikat yang meletakkan wanita sebagai pembuat keputusan berjaya menikmati keuntungan yang lebih besar. Jadi kita akan mengenal pasti wanita berbakat yang berupaya melaksanakan urus tadbir yang baik," katanya.

Artikel Lain