suria

1Malaysia Merupakan Satu Produk Untuk Rakyat Malaysia - Najib

KUALA LUMPUR: 1Malaysia bukan sahaja semata-mata satu slogan tetapi telah diterjemahkan menjadi produk terutama bagi membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia merupakan satu contoh produk-produk yang boleh digunakan oleh rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan dalam keadaan yang lebih baik.

"Di mana dalam dunia ini anda boleh pergi ke sebuah klinik dan bayar RM1 sebelum anda boleh mendapatkan rawatan dengan ubat percuma tapi di Malaysia, kita mempunyai Klinik 1Malaysia.

"Saya juga telah melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia di mana barangan runcit di situ adalah sekitar 40 peratus lebih murah dan ada banyak lagi rancangan sedang diatur," katanya ketika berucap pada satu majlis yang dihadiri anggota Young Corporate Malaysians (YCM) di sini, malam Isnin.

Dialog bertemakan "Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi" itu dihadiri oleh 500 anggota YCM.

YCM ditubuhkan pada Januari 2008 oleh sekumpulan ahli profesional muda yang bertujuan bagi membina rangkaian ahli profesional muda melalui pelbagai majlis sosial dan bermaklumat yang memberi manfaat kepada para anggotanya. - BERNAMA

Artikel Lain