suria

Bookie Didakwa Rasuah Enam Pemain Bola Sepak T-Team

SHAH ALAM: Seorang bookie warga Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, kerana merasuah enam pemain bola sepak bagi mengaturkan perlawanan Piala Presiden yang berlangsung antara Terengganu dan Selangor, tahun lalu.

Tertuduh, K. Rajendran, 51, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan yang mendakwa dia telah memberikan suapan berjumlah RM200 kepada enam pemain tersebut pada Mac 2010 di Hotel Bluewave, di sini.

Enam pemain yang dinamakan dalam setiap satu pertuduhan ialah Mohd Azwan Mat Ali, Muhammad Shariquddin Ibrahim, Mohd Nadzmeer Mohammad, Mohd Azuan Hussein, Mohd Hanifzam Muda dan Mohd Hafiz Mohd Noor.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk mengaturkan keputusan perlawanan bola sepak antara pasukan Terengganu T-Team dan pasukan Selangor pada Piala Presiden.

Perlawanan itu yang diadakan pada 28 Julai 2010 menyaksikan Selangor menewaskan T-Team 2-1.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadzillah Mohd Ossman mengikut Seksyen 12 (b)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan boleh dihukum penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pada prosiding itu, Fadzillah menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat tamabahan pasport antarabangsa milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga memohon agar kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu untuk dibicarakan bersama seorang lelaki yang didakwa atas kesalahan serupa.

"Perbicaraan akan melibatkan saksi-saksi yang sama," katanya.

Jumlah jaminan tersebut tidak dibantah oleh peguam V. Shanmugam yang mewakili tertuduh.

Hakim M. Bakri Abd Majid membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin rakyat Malaysia dan menetapkan 30 Jun ini sebagai sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban untuk menghadapi lima lagi pertuduhan terhadapnya.

Artikel Lain