suria

Jabatan Perikanan Terengganu Rampas 41 Pukat Hanyut Sejak Januari

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Terengganu merampas sebanyak 41 pukat hanyut, yang merupakan satu daripada punca kematian penyu, di kawasan perairan Mengabang Telipot, Batu Rakit di sini sejak Januari hingga Jun lepas.

Pengarah Perikanan negeri Zakaria Ismail berkata pihaknya sentiasa menjalankan operasi berikutan kematian banyak penyu di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, tiada pemilik pukat hanyut, atau lebih dikenali lagi dengan pukat pari, yang ditahan dalam operasi itu," katanya kepada Bernama, Sabtu.

Beliau berkata pada tahun lepas, pihaknya merampas kira-kira 50 pukat berkenaan di sepanjang pantai, dari kawasan Kemaman hingga ke Kuala Terengganu.

Katanya, dalam tempoh tersebut, pihaknya mengesan beberapa bangkai penyu agar yang mati di pantai Mengabang Teliput, dipercayai akibat terperangkap dalam pukat pari.

Zakaria berkata Jabatan Perikanan memandang serius perkara itu yang menjadi satu punca penyu semakin pupus.

Beliau berkata perkara ini secara tidak langsung, akan menyebabkan usaha Jabatan Perikanan meningkatkan populasi penyu melalui program pengeraman telur akan terjejas.

Katanya, nelayan pukat hanyut amat licik dan sukar dikesan kerana mereka menjalankan aktiviti pada waktu malam bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.

Zakaria juga berkata pukat hanyut yang mempunyai mata 10 inci ke atas diharamkan Jabatan Perikanan Terengganu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain