suria

Lebih Ramai Pemain, Jurulatih Bola Sepak Akan Didakwa - SPRM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan mengheret lebih ramai pemain, pengurus dan jurulatih bola sepak ke mahkamah atas tuduhan rasuah sekiranya mempunyai bukti yang mencukupi tidak lama lagi.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, pihaknya masih memerlukan bukti lengkap sebelum sebarang pendakwaan dilakukan ke atas individu-individu terbabit dalam sukan paling popular berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana pemain, pengurus dan jurulatih mengamalkan rasuah segera melaporkannya kepada SPRM.

"Kadang-kala kita lebih gemar mendengar desas-desus sahaja, tetapi sebaliknya kita memerlukan bukti untuk melakukan pendakwaan. Kita tidak boleh serkap jarang," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas kemungkinan gejala rasuah kembali menghantui liga bola sepak tanah air selepas kemerosotan pasukan kebangsaan Malaysia dan liga tempatan akibat skandal rasuah pada 1994.

Pada 6 Jun lalu, jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof, 35, didakwa atas 21 pertuduhan mengatur perlawanan di Mahkamah Sesyen di Seremban.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah memberi rasuah berjumlah RM24,900 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan antara 19 hingga 22 April lepas.

Sebelas pemain terbabit ialah D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Anwarul Hafiz Ahmad, Suhairy Johari, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd Hafiz Mohd Nor.

Yusarman dituduh memberi suapan antara RM200 hingga RM2,000 kepada pemain pasukan itu.

Ia sebagai dorongan supaya mereka membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang bagi perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lepas.

Sebelas daripada pertuduhan itu dilakukan di Pusat Komersial Cempaka, Taman Cempaka, Senawang dekat sini pada 5 petang 22 April lepas, manakala sembilan pertuduhan dilakukan di tempat yang sama pada 9 malam 19 April lepas dan satu pertuduhan dilakukan di sekitar Seremban pada 10 malam hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel Lain