suria

Guru Penolong Kanan Dibebaskan Daripada Pertuduhan Edar Ganja

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad membebaskan seorang guru penolong kanan daripada pertuduhan mengedar 591.3 gram ganja, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Abidin Morad berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Abidin, 54, didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 26, Kampung Bukit Tembaga, Padang Temak, Kuala Nerang dekat sini, kira-kira 11 malam pada 23 Jun 2006.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata Abidin ketika membela diri memberitahu mahkamah sebelum dia ditangkap, seorang lelaki bernama Mohd Nor Arshad datang ke rumahnya untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Lelaki berkenaan membawa sebuah beg platik berwarna biru dan meletakkannya di sebelah sofa yang diduduki.

Mohd Sofian berkata Abidin memberitahu mahkamah selepas itu dia terdengar pintu pagar rumahnya digoncang dan jeritan "Ini polis, jangan bergerak" sebelum melihat Mohd Nor lari melalui pintu belakang.

Ketika polis menyerbu masuk ke dalam rumah, mereka mendapati hanya Abidin dan seorang anaknya berada di ruang tamu dan menemui bungkusan plastik berisi ganja.

Hakim itu berkata isteri tertuduh yang berada dalam sebuah bilik di rumah berkenaan turut mengesahkan Mohd Nor telah datang dan kemudian melarikan diri ke bahagian belakang rumah bersama sebuah beg plastik.

"Walaupun dadah itu berada dalam rumah tertuduh, ia mungkin diletakkan oleh Mohd Nor kerana lokasi tangkapan Mohd Nor adalah di sebuah rumah kosong dekat Kilometer 26, tempat sama tertuduh ditahan," katanya.

Sejurus selepas penghakiman dibacakan, anggota keluarga Abidin yang hadir di mahkamah menangis dan saling berpelukan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhayati Ibrahim manakala Abidin diwakili peguam G.Ravishankar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain