suria

KPDNKK Sedia Dana Untuk Naik Taraf Bengkel Baiki Kereta Dan Motor

BERA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menyediakan satu dana khas untuk pemilik bengkel kenderaan menaik taraf premis mereka agar lebih ceria dan mampu menarik pelanggan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata untuk permulaan, dana yang disalur menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu akan diberi kepada 50 bengkel yang dipilih.

"Jumlah dana berkenaan bagaimanapun masih belum diputuskan lagi, dan usaha menaik taraf bengkel-bengkel ini akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program SSM Bersama Masyarakat di Felda Mayam, di sini Sabtu.

Ismail Sabri berkata program itu juga adalah sama dengan usaha kementerian menaik taraf kedai-kedai runcit milik koperasi yang dilaksanakan sekarang.

"Sebanyak 24 buah kedai runcit lama telah dinaik taraf dan diganti untuk menarik pelanggan. Kedai terbabit dulunya berpendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sahaja sehari, kini sudah meningkat sehingga RM4,000 hingga RM5,000 sehari," katanya.

Beliau berkata kerajaan mensasarkan 500 kedai runcit lama akan dinaik taraf menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain