suria

RM3.38 Bilion Diperuntukkan Tingkat Sektor Pertanian - Najib

SERDANG: Kerajaan memperuntukkan RM3.38 bilion bagi membiayai perbelanjaan mengurus serta pelaksanaan projek-projek pembangunan pertanian tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata bidang pertanian akan terus diberi perhatian dan keutamaan kerana sektor itu adalah kritikal untuk kesejahteraan rakyat.

"Jika gagal untuk menambah sumber bekalan makanan, rakyat akan menghadapi inflasi harga kenaikan barangan makanan yang tinggi.

"Oleh itu, salah satu daripada jawapan kepada ancaman ini, kita perlu berusaha dengan lebih gigih agar sumber bekalan makanan tempatan dapat ditingkatkan," katanya ketika menyampaikan amanat pada Hari Perhimpunan Petani, Penternak dan Nelayan di sini, Jumaat.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Najib berkata antara perbelanjaan yang telah diluluskan oleh kerajaan ialah pemberian subsidi harga padi sebanyak RM480 juta, pemberian subsidi baja padi (RM409 juta) dan insentif peningkatan hasil padi (RM80 juta).

"Selain itu, insentif pengeluaran hasil padi sebanyak RM150 juta di mana disediakan bantuan kos pembajakan dan baja tambahan, subsidi harga beras (RM167 juta), subsidi benih padi (RM85 juta) dan insentif hasil tangkapan nelayan (RM170 juta)," katanya.

Beliau berkata pada tahun ini juga, kerajaan telah meluluskan peruntukan khas bagi tujuan penyelenggaran dan memperbaiki saluran pertanian dan usaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi berjumlah RM165 juta.

Perdana Menteri berkata pada masa ini, kerajaan juga sedang melaksanakan projek Empangan Paya Peda di Terengganu bagi menyediakan saliran pertanian untuk tanaman padi dengan kos sebanyak RM319 juta.

"Di samping itu, kerajaan sedang mempertimbangkan peruntukan tambahan yang diperlukan tetapi ini tertakluk kepada perbelanjaan negara untuk menampung perbelanjaan tambahan.

"Tetapi peruntukan sebanyak RM400 juta tambahan telah diluluskan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selaras dengan Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara," katanya.

Selain pembiayaan kewangan dan perbelanjaan yang besar, Najib berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) yang telah diberikan peruntukan sebanyak RM120 juta pada tahun ini bagi menyediakan pinjaman mikro tanpa penjamin dan cagaran, serta kemudahan yang disediakan oleh Agrobank.

Beliau berkata Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pertanian yang akan dipacu oleh sektor swasta, mencatatkan jumlah keseluruhan pelaburan untuk bidang itu berjumlah RM18.9 bilion, iaitu RM8.2 bilion merupakan pelaburan oleh kerajaan manakala swasta (RM10.7 bilion).

"NKEA pertanian disasar untuk menambah sumbangan kepada pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM28.9 bilion pada 2020 dan membuka sebanyak 74,600 peluang pekerjaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain