suria

Simpati Kenang Pemergian Seri Bayu

Seri Bayu
Seri Bayu
Seri Bayu

MALAM Sabtu minggu lalu (2 April) dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian penulis lirik Seri Bayu atau Jamaludin Sulik,45, akibat penyakit saraf motoneuron yang dihidapinya sejak tahun 2006.

Dia yang saya panggil Abang Bayu meninggal dunia di rumah keluarga angkatnya di Kampung Teluk Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Saya mengenali Seri Bayu sejak tahun 1994 lagi. Kali pertama berkenalan dengannya di satu majlis.

Saya agak terkejut ketika itu. Selama ini saya hanya mendengar nama Seri Bayu tanpa mengetahui siapakah orangnya. Sangkaan saya Seri Bayu adalah seorang wanita.

Saya hanya ketawa apabila dia memperkenalkan diri lalu saya berkata, inikah Seri Bayu? Ingatkan wanita cantik, secantik lirik-liriknya tetapi Seri Bayu rupanya seorang lelaki “macho”. Kata-kata itu disambut gelak ketawanya.

Ketika itu dia aktif berkarya dengan menghasilkan lirik terutamanya untuk Fauziah Latif, Jamal Abdillah, Anita Sarawak dan juga Francisca Peter.

Kebanyakan lirik-lirik nukilannya mengupas mengenai persoalan cinta.

Lelaki bernama Seri Bayu ini juga seorang yang berjiwa sentimental. Kehidupannya banyak diluahkan melalui lirik-lirik yang dia hasilkan.

Muzik, seni adalah jiwa Seri Bayu sehinggalah sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sempat menghasilkan sebuah lirik Sebelum Aku Pergi, ciptaan Sham (Kamikaze).

Dia juga pernah bekerja sebagai wartawan di sebuah akhbar tabloid dan juga pegawai perhubungan awam dengan syarikat rakaman Red Tomato. Syarikat rakaman dan akhbar itu bagaimanapun telah ditutup.

Perjalanan hidup Seri Bayu bukannya mudah. Dia melalui onak dan duri sebelum memejamkan mata buat selama-lamanya.

Perkahwinan keduanya dengan penyanyi Dayang Erema Zaira Awang Moshdad atau Erema pada tahun 2006 dianggap sebagai pelengkap kehidupan apabila ada individu yang sudi menjaga di saat dia menghidap sakit saraf. Tapi sayang sekali, apa yang diharapkan

Seri Bayu itu tidak menjadi kenyataan apabila Erema yang diangkatnya menerusi lagu Pelita Di Bawah Purnama menuntut cerai pada tahun 2008.

Saat Seri Bayu terlantar sakit di kediamannya di Puncak Jalil, Kuala Lumpur, saya sempat menziarahinya. Dia ditinggalkan Erema yang terpaksa mencari rezeki sebagai penyanyi kelab.

Seri Bayu tinggal seorang diri mengharapkan ihsan jiran tetangga untuk menjaganya sewaktu ketiadaan Erema.

Air mata saya pernah bergenang tatkala tiba di rumahnya pada suatu petang. Sewaktu saya tiba, Seri Bayu sedang kelaparan. Saya sempat menyuapnya roti dan air soya yang terdapat di atas meja.

Saya dapat bayangkan macam-macam perkara boleh terjadi apabila seseorang yang kurang upaya berada di rumah tanpa ditemani oleh sesiapapun. Apatah lagi Seri Bayu tidak boleh bergerak dan bercakap.

Di saat krisis rumah tangganya sedang berlaku, dia memberitahu saya walau dalam apa keadaan sekali pun dia tidak akan menceraikan Erema kerana dia terlalu sayangkan isterinya itu.

Bayu meluahkan rasa hatinya melalui nota yang ditaip menerusi tefon bimbitnya. “Abang tak akan ceraikan dia.

Biarlah dia tuntut macam mana sekalipun,” kata Bayu.

Kehidupan Seri Bayu bertambah parah apabila dia terpaksa mengosongkan rumahnya kerana tidak mampu membayar sewa selain keadaan fizikalnya yang tidak mampu bergerak.

Kereta yang dibelinya juga mengalami nasib serupa, ditarik oleh pihak bank.

Bayu hidup mengharapkan royalti lirik lagunya yang tidak sampai RM10,000 setahun.

Akhirnya ketika ditinggalkan isteri kerana tiada persefahaman, seorang keluarga yang bersimpati dengan nasib Bayu sanggup mengambil untuk menjaganya walaupun tiada pertalian darah.

Semuanya atas dasar simpati dengan kehidupan yang menimpa Bayu. Bermula keluarga di Shah Alam, dia berpindah dan menetap bersama keluarga angkat lain di Serdang, Selangor.

Akhirnya sebelum menutupkan mata, dia dipelihara oleh Abdul Ghani Pandak Sidi pula.

Pertemuan Seri Bayu dengan keluarga tersebut bermula pada hujung tahun lalu dalam sebuah pertandingan karaoke.

Kebetulan anak Abdul Ghani iaitu Nazira,16, memenangi pertandingan tersebut menyebabkan Bayu berhasrat untuk mengetengahkannya sebagai penyanyi sehinggalah dia memberikan lagu yang dalam simpanannya iaitu Sebelum Aku Pergi untuk gadis tersebut.

Kata Nazira, kali kedua keluarganya berjumpa dengan Bayu, dia meluahkan rasa untuk mengikut mereka pulang ke rumah.

Dengan kebenaran keluarga angkat kedua Bayu, mereka membawa dia ke Port Dickson untuk menjaganya bagaikan ahli keluarga sendiri.

Akhirnya pada malam Sabtu minggu lalu, Seri Bayu pergi meninggalkan kita dengan penuh kesedihan kerana saat kehidupannya dia melalui ujian yang tidak tertanggung dek badan.

Tapi syukurlah, masih ada orang yang bersimpati dengan nasibnya itu dan sanggup menjaganya sehingga ke akhir hayat. Bayu turut meninggalkan lima orang anak Muhamad Akmal, 15, Muhamad Aiman, 14, Muhamad Aizam , 11, Ally Farjana, 9, dan Muhamad Adham, 7.

Kepada Seri Bayu, saya memohon maaf kerana tidak dapat mengotakan hajatnya untuk bertemu kira-kira tiga minggu sebelum dia meninggal dunia. Semoga perjalanan hidup yang dilalui Seri Bayu ini menyimpan perasaan simpati dalam diri kita. Al-Fatihah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain