suria

Rawatan Percuma Untuk Pesara Kakitangan Awam Disambut Baik

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Pesara Kerajaan Malaysia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menawarkan kemudahan perubatan percuma kepada pesara wajib sektor awam yang memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presidennya Datuk Raja Wan Mahmood Pawanteh berkata sebelum ini kakitangan awam yang berkhidmat di bawah skim KWSP tidak menerima perubatan percuma selepas bersara wajib kerana ia hanya diperuntukkan kepada mereka yang memilih skim pencen.

Beliau berkata itu adalah bukti keprihatinan Perdana Menteri kepada kakitangan awam tidak kira yang memilih skim pencen atau skim KWSP.

"Kita gembira bagi pihak pesara dan bakal pesara ini kerana selepas ini mereka juga bakal menerima kemudahan perubatan percuma selepas bersara.

"Sebelum ini ada di antara mereka yang berasa tercicir tetapi kini terubat selepas Perdana Menteri mengumumkannya hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Raja Wan Mahmood mengulas pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-12 di Putrajaya pada Selasa.

Menurut Najib penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma selepas ini.

Selain itu, kerajaan juga memutuskan bahawa ganjaran akan dibayar seratus peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah Skim Pencen, sekaligus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.

Perdana Menteri berkata keputusan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa. Pada 1992, melalui Skim Saraan Baru (SSB), kakitangan kerajaan yang dilantik selepas 12 April 1992 ditawarkan skim KWSP sebagai alternatif kepada Skim Pencen seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 6A(1) Akta Pencen 1980 dan Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980.

Pada 2009, kerajaan telah menawarkan opsyen skim pencen kepada seramai 66,733 anggota sektor awam yang telah memilih skim KWSP memberi peluang kepada mereka untuk menikmati faedah persaraan yang lebih baik. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain