suria

MIC Akan Bincang Dengan PM Kedudukan Murugiah Sebagai Senator

IPOH: Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kedudukan Datuk T. Murugiah yang penggalnya sebagai Anggota Dewan Negara tamat bulan depan.

"Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat...ianya akan diumum selepas itu. Sehingga kini tidak ada sebarang kenyataan yang boleh dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pemimpin MIC Perak, di sini malam Jumaat.

Murugiah mengangkat sumpah sebagai senator pada 2008 dan penggalnya akan berakhir pada 18 April ini.

Susulan pelantikan tersebut, Murugiah yang ketika itu Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau dipecat daripada PPP selepas perselisihan dengan Presiden parti Datuk M. Kayveas.

Murugiah menyertai MIC pada Jun 2010. -BERNAMA

Artikel Lain