suria

Pengarang Kanan Malay Mail Dilepaskan Tanpa Bebas Tuduhan Buat Komen Palsu

PETALING JAYA: Pengarang Eksekutif Hiburan & Gaya Hidup Malay Mail, Irwan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Hasan Skodeng dikalangan blogger dilepaskan tanpa bebas daripada tuduhan membuat komen palsu di blog miliknya, tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu pada Selasa, selepas pihak pendakwaan bersetuju untuk menarik semula pendakwaan apabila menerima representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan Irwan.

Irwan, 37, diwakili oleh peguam Jahaberdeen Mohamed Yunus manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Badius Zaman Ahmad.

Pada 2 September 2010, Irwan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat komen palsu bertajuk ‘TNB to sue WWF over earth hour’ dengan niat mahu menyakiti hati orang lain.

Artikel tersebut didakwa ditulis dalam bentuk berita berdasarkan satu sidang akhbar palsu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh yang kononnya menyatakan bahawa syarikat itu akan menyaman Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) berhubung kempen Earth HourIrwan yang merupakan seorang blogger bebas didakwa menerbitkan komen tersebut di blognya http://nose4news.wordpress.com antara pukul 6 dan 7 petang, 25 Mac lalu, di pejabat Malay Mail di nombor B-3A-01,02 & 03, Dataran 3 Dua, Jalan 19/1, di sini.

Bagi kesalahan itu, Irwan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa itu, Irwan telah dibenarkan untuk dibebaskan dengan jaminan RM4,000 yang dijelaskan oleh Pengarang Kumpulan Red Berry Media Group, Datuk Ahirudin Atan atau dikenali sebagai Rocky’s Bru dalam dunia blog.

Aduan terhadap komen tersebut dibuat oleh Pemangku Pengurus Besar Komunikasi Korporat TNB, Ismail Abd Rahman dan Irwan telah menyerah diri kepada pihak polis sebaik sahaja mengetahui pihak tersebut sedang mencari ‘Hasan Skodeng’.

Artikel Lain