suria

Generasi Muda Perlu Berani Tolak Penyalahgunaan Dadah

KOTA KINABALU: Generasi muda perlu berani mengatakan 'tidak' kepada dadah sekiranya tidak mahu masa depan negara dipimpin oleh seorang penagih dadah, kata Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Herbert Timbon Lagadan pada Selasa.

Katanya jika ramai remaja dan belia terlibat dengan penyalahgunaan dadah, negara tidak akan mempunyai pelapis yang berkebolehan dan bermoral tinggi untuk memimpin negara ke arah kemajuan dan cara hidup yang aman dan harmoni.

Beliau berkata terdapat pelbagai penyebab kepada penyalahgunaan dadah, antaranya pengaruh kawan, sekadar mencuba dan secara tidak sengaja.

"Anak-anak perlu membekalkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya dapat menangkis gejala sosial, terutama yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup rasmi Kem Maju Diri Pelajar 1Malaysia anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Sabah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Pelajaran Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Likas di sini.

Herbert, yang juga Naib Pengerusi Pemadam Negeri, meminta masyarakat, terutama ibu bapa, supaya mengetepikan perasaan malu jika mempunyai anggota keluarga yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan memerlukan rawatan serta pemulihan.

Pada majlis itu, beliau menitiskan airmata ketika sebuah sketsa dipersembahkan mengenai seorang pelajar sekolah yang terjerumus ke kancah penyalahgunaan dadah sehingga menemui ajal di tali gantung.

Seramai 36 pelajar dari enam sekolah terpilih di sekitar Kota Kinabalu menyertai kem empat hari itu bermula 12 Mac. -BERNAMA

Artikel Lain