suria

Petronas, TNB Salur LNG Jana Elektrik Ke Pantai Timur Sabah

KOTA KINABALU: Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan berusaha menyalurkan tidak lama lagi Gas Asli Cecair (LNG) dari Bintulu untuk menjana sumber tenaga alternatif ke Pantai Timur Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata langkah ini bertujuan mengatasi masalah kekurangan bekalan tenaga kritikal di kawasan berkenaan, terutama selepas projek loji jana kuasa daripada arang batu dibatalkan baru-baru ini.

"Kita menghadapi masalah kritikal untuk membekal tenaga elektrik yang stabil ke Pantai Timur dan tidak ramai yang tahu bahawa TNB memberi subsidi RM2 juta sehari untuk diesel yang digunakan oleh pelbagai Loji Janakuasa Bebas (IPP) di sana," kata beliau pada perayaan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Mei Parti Gerakan Rakyat Malaysia di sini, Sabtu.

Musa berkata usaha sama antara Petronas dengan TNB itu diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) baru-baru ini.

Musa berkata semasa pertemuan dengan Najib tidak lama dulu, Perdana Menteri diberitahu mengenai rasa kurang senang penduduk Sabah mengenai projek loji janakuasa arang batu itu.

Sementara itu, Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata parti itu menyokong penuh keputusan kerajaan membatalkan projek loji janakuasa itu kerana ia selaras dengan konsep kelestarian di bawah Model Ekonomi Baru.

"Ini (keputusan) mencerminkan komitmen Ketua Menteri dan BN untuk terus menjadikan alam sekitar sebagai agenda utamanya," kata Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain