suria

Mangsa Banjir Di Johor Semakin Kurang

JOHOR BAHARU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan di negeri Johor kini tinggal 17,613 orang dari 4,402 keluarga, selepas 1,573 orang sudah balik ke rumah masing-masing sejak lewat petang Selasa.

Portal rasmi kerajaan negeri Johor, www.johordt.gov.my dalam laporannya pada 8 pagi ini menyebut bahawa masih terdapat 71 pusat pemindahan yang dibuka di Muar, Batu Pahat, Ledang dan Segamat.

Daerah Batu Pahat mencatatkan mangsa teramai dengan 7,717 orang dari 1,784 keluarga, diikuti Muar (4929 orang, 1,334 keluarga), Ledang (4,335 orang, 1,117 keluarga) dan Segamat (632 orang, 167 keluarga).

Jalan Pogoh Tekam Seksyen 1-Seksyen 3 (Chodan ke Tekam) di Segamat masih ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam 1 meter sepanjang satu kilometer.

Di Muar, Km 62-71 Jalan Muar-Labis (sempadan Labis) ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam 1.03m, dan turut ditutup di daerah itu ialah Km 60-61 Bukit Kepong yang ditenggelami air sedalam 1.03m.

Setakat ini lima orang dilaporkan lemas akibat banjir di Johor. - BERNAMA

Artikel Lain