suria

Dengarlah Cakap Erra Fazira

NIEZAM membaca komen pelakon Erra Fazira (gambar) dalam mStar Online yang dilaporkan wartawan Wahiduzzaman baru-baru ini mengenai artis yang cuba memburukkan rakan-rakan artis.

Niezam tersenyum membaca nasihat Erra itu. Kata Erra, sejak kebelakangan ini bagaikan menjadi trend apabila ada artis yang suka menjajakan kisah artis lain melalui media. Ia seperti artis A yang memburukkan artis B. Artis C pula mengata artis D.

Sebagai artis kata Erra, mereka kena jaga tatasusila. Jaga maruah dan jangan main lepas cakap sebab nanti memalukan dunia artis itu sendiri.

Niezam mengaku kata-kata Erra itu memang ada benarnya. Malah Niezam juga melihat, artis-artis baru yang tengah nak “menggetik” sekarang ni memang suka cari gaduh dengan mengeluarkan macam-macam kenyataan untuk memburukkan orang lain.

Niezam tahu kepada siapa Erra tujukan maksud isi hatinya itu.

Terbaru kisah bagaimana Nora Danish dan Fasha Sandha “berperang” hanya kerana seorang lelaki.

Itu hanya satu contoh daripada pelbagai contoh yang sedang melanda dalam dunia hiburan sekarang ini.

Niezam tahu soal menjaga peradaban diri, Erra merupakan seorang artis yang bijak. Semua artis harus belajar dengan Erra macam mana dia mengawal diri dan emosi untuk memastikan sesuatu perkara tidak terus menjadi kecoh atau berpanjangan.

Niezam masih ingat macam mana kes putus tunang di antara Erra dengan Awie serta beberapa kes lain yang mampu ditangani Erra dengan sebaik mungkin walaupun ada pihak yang cuba memburukkannya.

Kebijaksanaan yang ada pada Erra itu tidak ada pada artis lain. Artis-artis yang ada hari ini kebanyakannya artis “tong kosong”. Kalau diketuk satu kampung sakit telinga. Malah kisah yang paling busuk sejak minggu lalu ialah kisah berebut teman lelaki. Itu satu lagi contoh yang amat buruk yang seterusnya mendedahkan perangai sebenar seseorang artis itu.

Artis, sepatutnya menjadi contoh dan mereka hendaklah pandai menjaga diri tidak kiralah ketika di tempat awam ataupun ketika bercakap melalui media.

Artis yang tidak pandai berfikir secara matang menyebabkan diri mereka kelihatan bodoh dan masyarakat akan melihat mereka sebenarnya bermentaliti rendah.

Kepada artis-artis, anda hendaklah bijak seperti Erra yang tahu menangani situasi hidup apabila dihimpit kontroversi.

Teguran Erra sebagai artis yang dah lama berkecimpung dalam dunia hiburan hendaklah dipandang serius oleh artis-artis lain.

NIEZAM: Dengar nasihat.

Anugerah? Sudah-sudahlah!

Pada 18 dan 19 Februari depan, anugerah yang dah empat tahun berkubur dihidupkan semula. Namanya Anugerah Sri Angkasa (ASA).

Anugerah ini dahulunya dikendalikan oleh RTM tetapi tidak lama kemudian cara penganjurannya ditukar iaitu semua stesen televisyen yang ada di negara ini harus mengambil bahagian.

Ia sama macam Anugerah Skrin yang dianjurkan oleh TV3 iaitu mempertandingkan program-program terbitan stesen televisyen masing-masing selain beberapa anugerah besar lain.

Niezam tak kisah pun kalau ada pihak nak anjurkan 100 anugerah sekalipun dalam negara kita. Tapi sayangnya, kalau ada 100 anugerah, dunia hiburan kita tidak boleh pergi mana.

Di Hollywood lain, industri hiburannya sangat besar dan bernilai berbilion dolar. Negara kita yang produk muzik dan filem tak banyak mana tu pun ada lebih 11 anugerah. Hebat sangatkah negara kita sampai ada anugerah sebanyak itu?

Niezam senaraikan anugerah yang kita anjurkan setakat ini selain ASA iaitu Anugerah Bintang Popular, Anugerah Skrin, Festival Filem Malaysia, Anugerah Profima, Anugerah Juara Lagu dan Anugerah MACP.

Tidak ketinggalan Anugerah Industri Muzik, Golden Awards, Shout Awards dan Anugerah Era (yang sudah tiada lagi).

Tapi sejauh manakah kesemua anugerah itu dapat mengubah senario dunia seni kita?

Motif penganjuran sesebuah anugerah ialah untuk memartabatkan industri seni itu sendiri tetapi kalau kita lihat pencapaian dunia seni kita pada hari ini agak tersasar jauh walaupun jumlah pengeluaran filem sedang menunjukkan peningkatan.

Niezam tertarik untuk mengulas ASA pada tahun ini. Menurut sumber anugerah itu menjadi kelam kabut.

Dalam satu mesyuarat, pihak A telah menuding jari kepada pihak B. Pihak B pula tak sediakan apa yang pihak A mahukan. Maka ia bermaksud ahli jawatankuasa yang terlibat buat kerja tak betul.

Itulah masalahnya apabila dalam satu-satu acara yang hendak dianjurkan ia melibatkan banyak pihak.

ASA kali ini melibatkan RTM, Media Prima, Astro dan Finas.

Keadaan menjadi bertambah kelam kabut apabila senarai lima pencalonan terakhir untuk 53 kategori yang dipertandingkan dikeluarkan pada saat-saat akhir dengan cara yang tidak tersusun.

Lebih pada itu ada juga artis yang merungut. Mereka diundang ke satu sidang media untuk mengumumkan senarai peserta yang dicalonkan tetapi sayangnya pada majlis itu, nama mereka tidak disebut. Ia menggambarkan ASA yang hanya ada beberapa minggu sahaja lagi akan berlangsung bukan sebuah acara yang hebat.

Masalah itu timbul apabila negara kita kemaruk untuk anjurkan anugerah daripada memikirkan bagaimana memartabatkan dunia seni.

Adakah ASA yang akan diadakan nanti sebuah acara yang hebat dan dapat mengubah senario dunia hiburan kita? Kalau tak ada, buang masa saja.

NIEZAM: Anugerah kasih dan sayang huhu...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain