suria

Ditahan Semula Selepas Bebas Tuduhan Edar 10kg Ganja

SHAH ALAM: Seorang buruh dari Jawa, Indonesia yang baru dibebaskan daripada tuduhan mengedar 10 kilogram ganja ditahan semula di luar Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa.

Herman Subadi, 40, ditahan oleh empat anggota polis berpakaian preman yang difahamkan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan sebab penahanan dikatakan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan.

Sebelum dibawa meninggalkan mahkamah, Herman sempat berpesan kepada abangnya, Hadi Mustafa, 41, yang hadir di mahkamah untuk mengikuti prosiding.

“Herman berpesan supaya jangan bimbang, nanti saya (Herman) akan menjaga diri elok-elok,” kata Hadi semasa diminta untuk menterjemahkan pesanan di dalam Bahasa Jawa.

Hadi bekerja sebagai buruh di Pelabuhan Klang, dekat sini, hadir bersama seorang rakan.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid melepas dan membebaskan Herman daripada tuduhan mengedar dadah seberat 10.27 kilogram ganja tanpa memangil dia untuk membela diri.

Keputusan itu dibuat selepas beliau yang mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan yang dihadapi Herman.

Herman didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11.30 malam, 23 Disember 2007 di rumah lot 1309, Jalan Telok Kapas, Rantau Panjang, Klang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dio bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Herman yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun di kampung halaman diwakili oleh peguam-peguam M. K Thas dan J. Rao.

Berdasarkan laporan akhbar, dadah tersebut yang dianggarkan bernilai RM300,000 disembunyikan di dalam kotak mi segera yang disimpan di bahagian dapur rumah terbabit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain