suria

Mayat Seorang Lagi Mangsa Bot Karam Di Tanjung Leman Ditemui

MERSING: Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menemui satu lagi mayat dalam kejadian bot karam berhampiran Jeti Tanjung Leman di sini petang semalam, menjadikan jumlah yang terkorban empat orang setakat ini.

Ketua Polis Daerah Mersing DSP Mohd Nor Rashid berkata mayat Tor Soon Kwee, 41, ditemui sekitar pukul 7 pagi kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

"Mayat lelaki warga Singapura itu dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat," katanya di sini, Isnin.

Beliau berkata usaha mencari seorang lagi penumpang, Eng Kian Tek, 44, masih diteruskan sekalipun pasukan mencari dan menyelamat berhadapan dengan keadaan angin kuat dan ombak besar.

Gerakan itu disertai kira-kira 80 anggota dari Polis Diraja Malaysia, Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, bot kayu berukuran 40 meter panjang dan 10 meter lebar yang membawa 29 penumpang terbalik dan karam dipukul ombak kuat ketika dalam perjalanan dari sebuah kelong memancing ikan berhampiran Pulau Sibu menuju ke Jeti Tanjung Leman, di sini.

Kesemua penumpang yang terdiri daripada sembilan rakyat tempatan, 19 rakyat Singapura dan seorang warga China pergi ke kelong terbabit pada pagi Sabtu untuk bercuti.

Tiga penumpang yang ditemui maut semalam ialah seorang wanita dikenali Low Lee Jun, 33, dan dua lelaki iaitu Chua Lim Khoon, 45, dan Adrian Tan, 67. Kesemuanya warga Singapura.

Ekoran kejadian itu, polis menahan reman seorang tekong berusia 67 tahun dan pengusaha kelong berumur 58 tahun bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain