suria

KDN Sasar Selesaikan 15,510 Permohonan Taraf Kewarganegaraan Tahun Ini Pada 2012

GEORGE TOWN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mensasarkan untuk menyelesaikan atau mengeluarkan keputusan terhadap 15,510 permohonan mendapatkan taraf kewarganegaraan yang dikemukakan sepanjang tahun ini pada tahun depan atau 2012.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata setakat ini sebanyak 163 permohonan telah diproses.

Bermula tahun ini, Piagam Pelanggan KDN menetapkan untuk mengeluarkan keputusan permohonan taraf kewarganegaraan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh permohonan lengkap diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), katanya.

"Piagam tersebut telah menjadi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan taraf kewarganegaraan Malaysia dan penyerahan sijil kelahiran daftar lewat kepada 91 penerima di sini, Rabu.

Katanya untuk menjadi seorang warganegara Malaysia bukan suatu yang mudah kerana mereka perlu memenuhi syarat yang dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia dan KDN perlu membuat penelitian rapi sebelum taraf kewarganegaraan diberikan.

"Walaupun memenuhi syarat yang ditetapkan, ianya bukan dianugerahkan secara automatik sebab anugerah taraf kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah yang tertinggi dan istimewa daripada kerajaan Malaysia yang tidak ternilai harganya dan tidak boleh dimiliki dengan menggunakan wang ringgit," katanya.

Abu Seman berkata kebanyakan punca ermohonan ditolak ialah kerana pemohon gagal menghadiri sesi temuduga atau tidak lulus temu bual dan dokumen tidak lengkap.

"Masa bagi memproses kes-kes dokumen tidak lengkap itu amat panjang dan kami terpaksa menolak permohonan tersebut," katanya dan menurutnya pemohon digalakkan membuat permohonan semula sekiranya permohonan mereka ditolak.

Katanya, pada tahun 2009, KDN berjaya menyelesaikan sebanyak 32,927 permohonan kewarganegaraan yang tertunggak dari tahun 1997 sehingga 2006.

"Pada tahun ini juga, KDN berjaya enyelesaikan 29,677 permohonan yang tertunggak dari tahun 2007 hingga 2009," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain