suria

Dua Didakwa Merompak Dua kali Dalam Tempoh 2 Jam

SHAH ALAM: Seorang penjual besi buruk dan kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Khamis, atas tuduhan melakukan rompakan di dua tempat berbeza dalam tempoh masa lebih dua jam.

M.Pandian, 24, dan F.Dass, 25, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Mereka didakwa merompak rumah milik A.Apparao, 35, dengan bersenjatakan parang pada pukul 1 pagi, 19 November lalu di Lot 494 Kampung Keliang, Kalumpang, Hulu Selangor dekat sini.

Perbuatan tertuduh didakwa telah menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM20,000 yang terdiri daripada wang tunai RM2,000 dan barangan kemas terdiri daripada seutas rantai, sebentuk cincin dan tiga pasang subang.

Bagi pertuduhan kedua pula, Pandian dan Dass didakwa bersama tiga lagi tertuduh, iaitu T.Kokulabalan, 22, S.Darmaraju, 23, dan L.Yogan, 23, atas tuduhan merompak rumah jiran kepada Apparao.

Semua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 3.20 pagi, hari yang sama di rumah milik K.Panniselvan, 54, di nombor 5A, Lot 494, Kampung Keliang, Kalumpang.

Tertuduh yang didakwa bersenjatakan parang dan besi telah melarikan wang tunai RM550, tujuh utas rantai emas, dua gelang, tiga cincin, 4 subang dan satu van milik mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum dan Farah Wahida Md Nor mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Faridah menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, semua tertuduh merayu supaya jumlah itu dikurangkan memandangkan mereka merupakan penanggung tunggal keluarga.

Hasbi membenarkan jaminan RM20,000 diberikan kepada Pandian dan Dass manakala tiga lagi yang lain ditetapkan pada jumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak dibenarkan menganggu mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Januari depan.

Pada prosiding itu, hanya Darmaraju dan Yogan sahaja yang diwakili peguam Mohammad Hafiz Zainol Abidin.

Artikel Lain