suria

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Idris Haron Kini Presiden WAY

MELAKA: Anggota Parlimen Tangga Batu, Datuk Ir Idris Haron menang tanpa bertanding jawatan Presiden World Assembly of Youth (WAY) bagi penggal 2010 hingga 2014, setelah pencabarnya dari Indonesia dan Somalia menarik diri di saat akhir.

Idris, 44, dipilih menggantikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang melepaskan jawatan tersebut selepas menyandangnya selama 17 tahun.

Keputusan menang tanpa bertanding oleh Idris itu diumumkan Mohd Ali pada Perhimpunan Am WAY kali ke-15 di Ayer Keroh di sini, Selasa. Idris adalah presiden yang ke-12 pertubuhan keamanan bagi belia seluruh dunia itu dan pemimpin kedua yang dipilih dari Malaysia.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Idris berkata, beliau akan memberi komitmen sepenuhnya untuk tidak menghampakan harapan pemimpin belia di negara ini dan negara lain yang menjadi anggota WAY.

"Kalau saya tidak berprestasi lebih daripada Mohd Ali sekurang-kurangnya sama dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau (Mohd Ali) yang menunjukkan Malaysia adalah tetap malar atau evergreen dalam menguruskan pentadbiran pertubuhan-pertubuhan belia sama ada di peringkat rantau atau peringkat dunia.

"Ini adalah cabaran yang besar kepada saya yang bermula dari pemimpin belia 4B cawangan, kawasan, negeri, kebangsaan dan akhirnya diterima sebagai pemimpin belia sedunia," katanya.

Beliau akan memimpin golongan belia ke arah kesederhanaan dan keseimbangan serta menegakkan keamanan sejagat.

"Misi pertama saya, WAY perlu ada era transformasi, ini adalah kerana WAY mempunyai ahli di 120 negara tetapi hanya sebilangan sahaja yang hadir ke perhimpunan ini. Kemungkinan satu piagam perlu dikaji agar ahli-ahli WAY dapat hadir bersama dalam perhimpunan seperti ini," katanya.

Idris kini turut menyandang jawatan Pengerusi Biro Antarabangsa Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia dan Pengerusi Biro Belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Keputusan penuh bagi jawatankuasa baru akan diumumkan esok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain