suria

Hospital Universiti Swasta Pertama Di Malaysia

PUTRAJAYA: Universiti Perdana, yang menawarkan hospital universiti swasta pertama dengan kemudahan perubatan bertaraf dunia, akan dibuka di Selangor dan merupakan satu lagi penanda kejayaan melengkapi usaha Malaysia menjadi hab pendidikan dan kesihatan.

Bakal membuka pintunya pada 2014, universiti itu akan turut menawarkan sekolah perubatan bertaraf dunia, pusat penyelidikan perubatan dan pusat penyelidikan perubatan dan hidupan sains.

Usahasama awam swasta bernilai RM2 bilion untuk penubuhan universiti itu disempurnakan perjanjiannya pada Selasa yang akan menempatkan Malaysia sebagai hab kesihatan terkemuka dan bersepadu menjangkaui Asia dan global.

Dua perjanjian, antara Academic Medical Centre Sdn Bhd dan Johns Hopkins University & Johns Hopkins Medicine International [JHI], dan satu lagi kerjasama antara Academic Medical Centre Sdn Bhd dan Royal College of Surgeons di Ireland [RCSI], ditandatangani.

Universiti Perdana akan berfungsi sebagai platform strategik dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan bukan hanya untuk rakyat Malaysia dan mereka yang berada di wilayah berdekatan tetapi juga untuk komuniti global.

Komponen utama Academic Medical Centre ini ialah pelancongan perubatan selain pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan penyelidikan.

Menandatangani bagi pihak Academic Medical Centre Sdn Bhd ialah Tan Sri Dr Mohan Swami sebagai Pengerusi Eksekutif, sementara JHI diwakili Dr Edward Miller, Dekan Fakulti Perubatan Johns Hopkins University dan Johns Hopkins Medicine International.

Menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Senator Hillary Rodham Clinton, yang berada di sini untuk lawatan rasmi tiga hari, sejak Isnin.

Satu majlis berasingan diadakan untuk kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian kerjasama yang diwakili Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dengan Academic Medical Centre Sdn Bhd yang diwakili Tan Sri Dr Mohan Swami.

Ini diikuti dengan penandatanganan perjanjian kerjasama antara RCSI dan Academic Medical Centre.

Hospital Perdana akan dibina di kawasan seluas 52 hektar di Serdang. Inisiatif yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta ini melalui Turiya Berhad dan Chase Perdana Sdn Bhd dilaksanakan dengan kerjasama erat Unit Perkongsian Awam Swasta (3PU).

Universiti Perdana akan termasuk dua sekolah perubatan, 600 katil hospital universiti dan pusat penyelidikan canggih di dalam taman teknologi.

Projek itu disebut secara khusus di dalam Belanjawan Negara 2011 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Okt.

Kehadiran Clinton pada majlis menandatangani perjanjian itu menunjukkan kepentingan besar projek itu kepada negara-negara yang terlibat.

Memandangkan ia bekerjasama dengan institusi perubatan terkemuka dunia, adalah diharapkan Universiti Perdana akan menarik perhatian dan kemasukan pemimpin pendapat, ahli fizik, pakar dan penyelidik serta rakyat Malaysia yang kini menceburi bidang perubatan di luar negara untuk kembali dan menambah bilangan pakar dan bijak pandai di Malaysia.

"Buat masa ini sebuah kampus sementara yang menempatkan dua sekolah perubatan akan beroperasi di Kuala Lumpur. Sekolah perubatan itu akan menawarkan buat pertama kali di Malaysia, program siswazah selama empat tahun berdasarkan kurikulum Amerika dengan kerjasama Johns Hopkins University School of Medicine.

"Sekolah kedua sementara itu akan menawarkan program siswazah lima tahun yang lebih konvensional berdasarkan kurikulum Irish dengan kerjasama Royal College of Surgeons di Ireland. Bakal dekan telah pun dilantik dan akan menjalankan tugas pada 1 Jan 2011, jauh lebih awal sebelum pengambilan pertama kemasukan pelajar untuk September tahun depan," kata Dr Mohan Swami dalam satu kenyataan.

Pusat Penyelidikan Perubatan dan Hidupan Sains Universiti Perdana, sementara itu akan digabungkan dengan Johns Hopkins Research Centre dan bukan sahaja membolehkan pelajar tempatan memperoleh kemahiran yang perlu mengenai penyelidikan di awal kerjaya mereka tetapi juga akan meletakkan Malaysia di dalam komuniti penyelidikan global.

Sebaik pusat itu beroperasi sepenuhnya, perkhidmatannya akan melengkapi pusat penyelidikan perubatan dan bioteknologi di Malaysia. Perancangan juga sedang dilakukan untuk menubuhkan pusat kecemerlangan bagi penyakit lazim di rantau ini antaranya seperti penyakit jantung, kanser, serebrovaskular, kencing manis dan penyakit tropika lain.

Hospital universiti dengan 600 katil berkenaan dalam pada itu akan bergabung dengan Johns Hopkins Medicine International dan akan menjadi hospital universiti swasta pertama di Malaysia.

Ia akan menampung keperluan pesakit tempatan dan luar negara dan oleh itu membantu mempromosi pelancongan perubatan untuk negara.

Projek RM2 bilion Universiti Perdana itu ialah hasil pelawaan Menteri Pengajian Tinggi kepada Academic Medical Centre Sdn Bhd supaya menubuhkan dan membangunkan sebuah universiti swasta di Malaysia.

Universiti itu pada masa depan akan mengadakan program siswazah lanjutan Sekolah Kejururawatan, Kesihatan Bersekutu dan kursus lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain