suria

Pesara Dakwa Terima Lapan Saman Trafik Atas Kesalahan Kereta Lain

PESARA DAKWA TERIMA LAPAN SAMAN TRAFIK ATAS KESALAHAN KERETA LAIN

KLANG: Seorang pesara mendakwa menerima lapan saman trafik atas kesalahan sebuah kenderaan lain yang mempunyai nombor pendaftaran sama dengan kereta Perodua Rusa miliknya sejak enam tahun lepas.

Chew Chor Beng, 64, dari Taman Klang Utama di sini berkata beliau mengetahui perkara itu apabila menerima tiga surat dari Trafik Bukit Aman pada 10 Ogos tahun lepas yang menyatakan beliau belum menjelaskan lapan saman Perodua Rusa miliknya yang menggunakan nombor plat BFG 377.

Beliau berkata saman-saman itu bertarikh 11 Jan 2004, 14 Mei 2009, 19 Mei 2009, 22 Mei 2009, 8 Jun 2009, 9 Jun 2009, 8 Julai 2009 dan 28 Julai 2009 bagi kesalahan di sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam.

"Saya tidak pernah di saman seperti tarikh yang tertera dalam surat itu. Saya juga telah pergi ke Ibu Pejabat Polis Trafik Petaling Jaya untuk bertanyakan masalah itu.

"Selepas disemak ada kenderaan lain yang memakai nombor pendaftaran saya dan kenderaan itu didaftar atas nama kereta jenis Perodua Kancil," katanya semasa membuat aduan kepada Ketua MCA Bahagian Kapar Datuk Song Kee Chai di sini, Selasa.

Chew berkata beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 19 Ogos tahun lepas kerana bimbang kemungkinan nombor pendaftaran kenderaannya disalahgunakan oleh pihak lain untuk melakukan jenayah.

"Sehingga kini saya tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka (polis) berhubung laporan polis yang saya buat dan surat-surat aduan yang telah saya hantar kepada mereka pada 3 Julai dan 1 Okt lepas," katanya.

Chew berkata selain saman trafik, beliau turut menerima tujuh kompaun dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi kesalahan meletak kereta tetapi MBPJ telah membatalkan kompaun terbabit selepas mendapati kereta yang terlibat ialah Kancil dan bukan Perodua Rusa miliknya.

Sementara itu, Song meminta kerjasama pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara itu bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku kepada orang lain.

"Kes seperti ini memang banyak berlaku...kita bimbang jika pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nombor pendaftaran yang sama untuk melakukan jenayah atau berlaku kemalangan yang boleh menyusahkan pemilik kenderaan sebenar," katanya.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar ketika dihubungi berkata pihaknya bersedia menemui Chew dan menyiasat aduan itu dengan lebih lanjut.

"Chew boleh berjumpa saya. Kita akan siasat kesahihan kes itu sebelum membuat keputusan dan jika siasatan mendapati dakwaan beliau (Chew) benar, kami akan membatalkan saman itu tetapi jika sebaliknya, kami akan mengeluarkan saman maksimum," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain