suria

Mara Beri Pinjaman Berjumlah RM47.7 Juta Di Bawah Skim Jaminan Usahawan

SANDAKAN: Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah pun meluluskan pinjaman berjumlah RM47.7 juta kepada usahawan bumiputera di bawah Skim Jaminan Usahawan Mara, kata Timbalan Ketua Pengarah Mara Abdul Rahim Abdul Ghani.

Beliau berkata 34 usahawan bumiputera mendapat manfaat daripadanya sejak jumlah siling pinjaman di bawah skim berkenaan ditingkatkan daripada RM500,000 hingga RM2 juta.

Katanya pada tahun ini, 311 usahawan di Sabah diberi pinjaman berjumlah RM16.1 juta oleh Mara melalui skim berkenaan dan skim pinjaman Mara yang lain dengan di Sandakan sahaja jumlah pinjaman yang diluluskan ialah RM6.6 juta melibatkan 76 usahawan.

"Usahawan Sabah paling tekun membayar balik pinjaman. Sabah ialah negeri kedua terbaik dari segi membayar balik pinjaman kepada Mara," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Seminar Usahawan Mara di sini pada Isnin oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Abdul Rahim berkata selain menyediakan pinjaman, Mara juga mempunyai 727 unit premis perniagaan di seluruh Sabah yang boleh disewa oleh usahawan bumiputera dengan kadar sewa yang amat berpatutan.

Sementara itu, Shafie dalam ucapannya pula berkata 29 projek baru dan bersambung dengan jumlah siling peruntukan berjumlah RM168 juta telah diperuntukkan kepada Sabah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Katanya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pula, peruntukan berjumlah RM4.7 juta disediakan untuk enam projek dan dua lagi projek bersambung bernilai RM49 juta.

Beliau berkata selain itu, Sabah juga menerima peruntukan bernilai RM12.95 juta untuk tiga projek Pusat Giatmara di Silam, Kinabatangan dan Papar.

"Ini mencerminkan bahawa kerajaan begitu serius dan komited membantu rakyat untuk mendapat akses pendidikan dan kemudahan perniagaan yang lebih baik dan berkualiti seiring perkembangan dan keperluan semasa," katanya.

Ditanya mengenai strategi Mara melahirkan lebih ramai usahawan Mara yang berjaya, Shafie berkata Mara perlu memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan kesedaran kaum bumiputera mengenai kemudahan usahawan dan peluang perniagaan yang ditawarkan agensi berkenaan.

Katanya memberi pinjaman sahaja tidak memadai jika usahawan yang diberi bantuan itu tidak memiliki pengetahuan keusahawanan yang mencukupi serta daya tahan untuk menghadapi cabaran dalam bidang yang diceburi. - BERNAMA

Artikel Lain