suria

Miliki Pokok Ganja: Pemandu Lori Dipenjara, Sebat

SHAH ALAM: Jika halaman rumah biasa dihiasi dengan bunga, berlainan pula dengan halaman sebuah rumah di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, dekat sini yang ‘dihiasi’ dengan pokok ganja.

Pada Jumaat, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Hasbi Hasan memerintahkan seorang pemandu lori, K. Saravanan menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan disebat 13 kali selepas mengaku bersalah memiliki pokok tersebut.

Pada prosiding itu, Saravanan juga mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 11 paket ganja seberat 50.42 gram yang didakwa dilakukan pada pukul 12.40 tengah malam, 2 Jun 2008.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah nombor 30, Jalan Widuri 1A, Seksyen BB18, Bukit Beruntung.

Dia juga mengaku bersalah atas tuduhan memiliki tujuh pokok ganja yang boleh diperoleh secara langsung atau tidak langsung pada masa dan di tempat yang sama.

Justeru itu, Hasbi memerintahkan dia dihukum penjara selama enam tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan memiliki paket ganja, manakala bagi kesalahan memiliki pokoknya pula, dia dihukum penjara selama tiga tahun dan tiga sebatan.

Kedua-dua hukuman itu diarahkan berjalan serentak dan bermula daripada tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin manakala tertuduh diwakili oleh peguam K. Theivaendran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain