suria

Saman Pelajar UKM Ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Selasa, menolak saman pemula yang dikemukakan empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka mengikut Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971 selepas didakwa terlibat dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April lalu.

Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Datuk Aziah Ali membuat membuat keputusan tersebut selepas mendapati sekatan yang dikenakan menerusi Seksyen 15(5) (a) AUKU adalah tertakluk dan tidak melanggar Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Empat mahasiswa tersebut ialah Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, 21, (Presiden), Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Wong King Chai (Exco) yang semuanya berusia 22 tahun.

Pada penghakimannya, Aziah turut menolak perintah injunksi sementara yang diperoleh empat mahasiswa terbabit pada 17 Jun lalu bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Kedua-dua permohonan itu ditolak dengan kos yang akan ditafsirkan kemudian.

Pada penghakimannya setebal 24 halaman, Aziah berkata, beliau bersetuju dengan hujahan peguam yang mewakili UKM bahawa sekatan itu perlu dan bersesuaian bagi mengekalkan displin penuntut yang merupakan sebahagian daripada nilai moral awam yang perlu diperhatikan.

“Saya juga bersetuju dengan Peguam Kanan Persekutuan bahawa disiplin dan kelakuan penuntut adalah perkara yang berkaitan dengan pentadbiran institusi tersebut. Tiada diskriminasi dalam pelaksanaannya terhadap penuntut,” kata Aziah.

Keputusan itu dibuat di dalam kamar dan pihak media dimaklumkan oleh peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah yang mewakili semua penuntut jurusan Sains Politik UKM tersebut selaku plaintif.

Haris juga memberitahu, Aziah bagaimanapun membenarkan permohonan injunksi erinford secara lisan olehnya bagi mengekalkan status quo sehingga rayuan terhadap keputusan itu didengar di Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah akan mendengar permohonan lengkap pada 7 Oktober ini memandangkan peguam utama yang mewakili UKM, Datuk Seri Shafee Abdullah sedang bercuti sakit hari ini (Selasa),” tambah Haris.

Saman pemula itu difailkan pada 1 Jun lalu bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh pihak university mengikut AUKU adalah tidak berasas dan tidak sah disisi undang-undang.

Semua plaintif yang merupakan pelajr tahun dua pengajian semasa didakwa terlibat dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 24 April lalu menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM selaku defendan.

Kerajaan Malaysia dan Menteri Pengajian Tinggi diwakili Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha Abu Bakar.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, selain turut menuntut kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Seksyen 15(5)(a) menyatakan tiada seorang pun pelajar universtiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti poliitik sama ada di dalam atau luar negara.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir Mohd Ithnin menyifatkan keputusan itu bukan hanya melibatkan empat mahasiswa terbabit, tetapi juga seluruh mahasiswa di negara ini.

“Permohonan ini bukan sekadar menuntut kebebasan mahasiswa untuk berpolitik tetapi juga mahu mendesak supaya mahasiswa mahasiswa diberikan kebebasan dalam akademik, bergerak dan hak dalam menyatakan pandangan dalam berpolitik,” tambahnya.

Artikel Lain