suria

Sijil Kematian Palsu Michael Soosai: Tiga Dipenjara, Denda

KUALA LUMPUR: Seorang bekas atendan Hospital Kuala Lumpur (HKL) antara tiga yang dihukum selepas disabitkan bersalah terhadap empat pertuduhan memalsukan daftar kematian, permit kubur dan sijil kematian penjenayah yang dikhendaki, Michael Soosai, selain menipu seorang doktor untuk mengeluarkan sijil tersebut. Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mohamad Sakeri Mamat menjatuhkan hukuman itu terhadap K.Subramaniam, 33, manakala peniaga besi buruk, V.Sanjeey Kumar, 34, dan bakal menantu penjenayah itu, J.Kumaresan, 28, dihukum atas kesalahan bersubahat.

Bagi tiga pertuduhan pertama, mereka diperintahkan menjalani hukuman penjara empat tahun dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan manakala bagi pertuduhan keempat, mereka dihukum penjara dua tahun.

Bagaimanapun, Mohamad Sakeri memerintahkan supaya hukuman penjara berjalan serentak bermula Khamis dan tempoh penjara ditambah setahun sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Beliau juga membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara selepas pihak pembelaan menyatakan hasrat untuk memfailkan rayuan pada Jumaat.

Pada penghakimannya, Mohamad Sakeri menyifatkan keterangan yang diberikan oleh Kumaresan sebagai rekaan manakala keterangan Sanjeev sebagai penafian.

Beliau yang turut mendengar keterangan isteri Soosai, S.Kumari, 45, selaku saksi pembelaan keempat berpendapat keterangan suri rumah tersebut amat meragukan.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan penuh melibatkan 23 saksi pendakwaan dan keterangan semua tertuduh semasa membela diri yang disokong Kumari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir sementara barisan pembelaan dibarisi peguam Hasnal Redzua Merican dan Naran Singh.

Dalam kes ini, Subramaniam didakwa menipu Dr Wan Mohamed Zamri Wan Nawawi, 47, supaya mengeluarkan sijil kematian di bilik mayat HKL, antara pukul 11 pagi dan 3 petang, 12 September 2003.

Dia yang berasal dari Ulu Kinta, Perak juga didakwa atas tuduhan memalsukan daftar kematian HKL bertarikh sama, permit pengebumian dan sijil kematian dengan niat sijil tersebut digunakan bagi tujuan penipuan.

Dua lagi tertuduh pula didakwa bersubahat dengan Subramaniam melakukan semua kesalahan tersebut.

Semua tertuduh diarahkan untuk membela diri pada 10 April lalu selepas Mohamad Sakeri berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie untuk dijawab tertuduh.

Ketika itu, Sakeri memutuskan bahawa keterangan saksi terakhir, S.Pillaipillamah adalah sangat penting dan menunjukkan bahawa Soosai masih hidup dan mayat yang dibakar bukanlah lelaki itu.

Subramaniam didakwa telah mengubah butiran seorang mayat lelaki yang tidak dikenali yang mati akibat HIV positif kepada butiran Soosai sehingga dortor mengeluar sijil kematian dan permit perkuburan.

Kumaresan pula telah menggunakan dokumen tersebut untuk menuntut mayat ‘Soosai’ dan membuat urusan untuk membakar mayat itu.

Soosai tersenarai dalam senarai dikhendaki Bukit Aman berhubung penipuan 16 keping cek berjumlah RM1 juta pada 2001.

Bagaimanapun, semua tuduhan terhadapnya digugurkan selepas keluarganya mengemukakan sijil kematian yang menyatakan Soosai mati akibat sakit jantung pada 2003.

Artikel Lain