suria

Dewan Rakyat Rakam Takziah Kematian Tun Omar Ong Yoke Lin

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluangkan masa selama seminit untuk berdoa dan bertafakur berikutan kematian pejuang kemerdekaan dan anggota terakhir kabinet pertama negara, Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin, 92, Khamis lepas.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut merakamkan ucapan takziah kepada balu Allahyarham, Toh Puan Dr Aishah Ong serta keluarga.

"Dengan perasaan dukacita dan sedih, ingin saya memaklumkan bahawa Yang Berbahagia Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin, bekas Yang Dipertua Dewan Negara pada tahun 1973 hingga 1980 telah kembali ke Rahmatullah pada Khamis lepas.

"Allahyarham memang dikenali sebagai seorang pejuang kemerdekaan bersifat patriotik dan merupakan individu penting disebalik kejayaan mencapai kemerdekaan.

Beliau merupakan seorang tokoh negarawan yang banyak menyumbang jasa dan bakti kepada negara. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada negara," kata Wan Junaidi.

Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di No. 44, Persiaran Duta Khamis lepas ekoran sakit tua dan jenazahnya dikebumikan di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara.

Sementara itu, Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) selepas selesai acara berdoa dan bertafakur bertanya kepada Wan Junaidi mengenai kerusi Speaker yang dihadiahkan oleh House of Common, London kepada Malaysia pada tahun 1963 yang didakwa hilang.

Wan Junaidi berkata kerusi tersebut kini telah disimpan dengan baik di Muzium Negara selepas diserahkan pada tahun 1984. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain