suria

NUBE, HSBC Bank Malaysia Meterai Perjanjian Cuti Bersalin 90 Hari

KUALA LUMPUR: Kempen Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) untuk cuti bersalin 90 hari berbayar, beroleh kejayaan pertama apabila HSBC Bank Malaysia menerima cadangan itu.

Setiausaha Agung NUBE J. Solomon mengalu-alukan pencapaian itu sebagai satu "detik penting" selepas menandatangani perjanjian dengan HSBC hari ini yang diwakili timbalan ketua pegawai eksekutifnya Jon Addis.

Solomon memberitahu Bernama bahawa kempen pada 8 Mac itu diharap dapat mengumpul sejuta tandatangan menjelang Hari Kebangsaan.

Setakat ini, ia berjaya mengumpul lebih 500,000 tandatangan, antaranya milik isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Soloman berkata tempoh cuti bersalin yang lebih panjang dijangka mampu mewujudkan persekitaran kondusif kepada ibu yang bekerja untuk menyumbang kepada pembangunan nasional. Sementara itu, Addis berkata sebelum ini, bank tersebut memperuntukkan cuti bersalin 60 hari berbayar, dan tambahan 30 hari dijangka membolehkan seorang ibu menjaga bayinya selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Solomon berharap lebih ramai majikan, tidak hanya dari sektor perbankan tetapi semua sektor, bakal mencontohi langkah itu.

NUBE mewakili 30,000 pekerja bank di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain