suria

Kuarters Untuk Semua Anggota Tentera Menjelang 2020

KUALA LUMPUR: Kesemua 135,000 warga tentera termasuk petugas awam yang berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan akan disediakan kuarters menjelang 2020, kata Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Katanya, buat masa ini, sebahagian daripada mereka menyewa rumah berhampiran dengan tempat kerja manakala sebahagian lagi tinggal di kuarters yang disediakan.

"Kita merancang menempatkan semua warga tentera di kuarters mengikut fasa perpindahan secara berperingkat yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Kem Pasifik dan Desa U-Thant di sini hari ini.

Menurutnya, penempatan anggota di kuarters akan memudahkan sebarang urusan antara kementerian dan anggota seperti hal kebajikan dan pentadbiran.

Ketika ini, kemudahan kuarters penginapan disediakan bagi anggota yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan di Jalan Semarak di sini, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak serta anggota tentera yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak. Sementara itu, beberapa pegawai dan anggota tentera yang ditemui pada majlis yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin mengakui bahawa kemudahan kuarters memberi keselesaan dan mudah berjimat.

Pegawai Rancang Operasi Markas Tentera Laut, Leftenan Muhamad Azli Adnan, 27, berkata, sebelum ini beliau tinggal di Mes Keramat di sini dan dengan penerimaan kunci rumah baru itu ia secara tidak langsung membantu kehidupan yang lebih baik.

"Kami tunggu agak lama juga tapi ianya berbaloi...dulu tinggal di kuarters biasa sahaja tapi sekarang dapat rumah baru yang lebih baik," katanya.

Pegawai awam, Muhammad Arif Amir, 32, berkata, kehidupannya bersama isteri dan anaknya akan lebih sempurna dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk menginap di kuarters.

Beliau yang berkhidmat di Bahagian Pengurusan Maklumat berkata, rumah yang bakal didiami menjelang bulan depan ini menawarkan pelbagai kemudahan terutama bagi yang berkeluarga.

Kem Desa Pasifik seluas 5.6 hektar menempatkan lapan blok yang mempunyai 834 unit iaitu untuk tentera berpangkat Sarjan ke Staf Sarjan dan anggota awam Gred 17.

Projek itu adalah usahasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). - BERNAMA

Artikel Lain