suria

Syarikat Penerbitan Akhbar Disaran Pelbagaikan Strategi Pemasaran Perniagaan

KUANTAN: Syarikat-syarikat penerbitan akhbar disaran supaya sentiasa mempelbagaikan strategi pemasaran perniagaan mereka dan bukan sekadar melaporkan berita.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata antara langkah yang boleh diambil bagi memperluaskan skop perniagaan mereka adalah membukukan sisipan pendidikan dalam akhbar masing-masing bagi rujukan guru dan pelajar pada masa hadapan.

"Usaha itu patut diambil bagi menyenangkan proses pembelajaran pelajar dan rujukan untuk tenaga pengajar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Hari Guru 2010 anjuran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Beliau berkata buku koleksi sisipan berkenaan boleh dijual oleh syarikat penerbitan akhbar kepada orang ramai dengan harga berpatutan bagi menambah hasil pendapatan syarikat.

Adnan turut menyarankan syarikat penerbitan akhbar supaya menerbitkan buku-buku yang bermutu tinggi secara lebih agresif.

Selain itu beliau mencadangkan supaya penerbit di bawah anak syarikat kumpulan akhbar supaya membeli hakcipta buku-buku yang ditulis oleh penulis-penulis terkenal di dalam dan luar negara.

"Dalam pada itu penerbit berkenaan boleh mendapatkan keizinan untuk menerbitkan buku yang diterbit di luar negara iaitu dalam bahasa asing dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia," katanya.

Pada majlis itu Adnan turut melancarkan akhbar Utusan Malaysia Edisi Pahang dan melancarkan dua buah buku masakan terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. - BERNAMA

Artikel Lain