suria

Zaid Tidak Peka Perundangan

PETALING JAYA: Ketua Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim disifatkan tidak peka dengan perundangan kerana mempertikaikan kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengeluarkan perintah kepada rakyat negeri mengenai hal-ehwal agama Islam.

Pertikaian mengenai isu itu tidak seharusnya dikeluarkan oleh Zaid yang dipercayai telah lama berkecimpung dalam bidang perundangan negara.

Kenyataan itu memetik pandangan peribadi Penguambela dan Penguamcara Sahalehuddin & Associates, Datuk Salehuddin Saidin berkaitan pendapat Zaid terhadap titah Sultan Selangor mengenai larangan berpolitik di masjid dan surau negeri Selangor.

Salehuddin yang juga Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyokong kenyataan media yang dibuat oleh Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa yang menggariskan segala peruntukan undang-undang mengenai isu yang dibangkitkan.

“Saya ingin menegaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor khususnya Perkara 55(1) dan (2) memperuntukkan bahawa Sultan Selangor mempunyai kuasa budibicara mutlak di dalam beberapa perkara.

“Ini termasuk Fasal (2)(d) iaitu kuasa budibicara Tuanku sebagai Ketua Agama Islam,” jelasnya.

Tambah beliau, fungsi dan peranan MAIS adalah sebagai penasihat kepada Sultan Selangor dan pada asasnya baginda merupakan kuasa utama dalam pelaksanaan perkara yang melibatkan hal-ehwal Agama Islam di Selangor.

Ini diperuntukkan melalui Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Pindaan 2008 yang menyatakan bahawa peranan MAIS adalah bagi membantu dan menasihati Sultan Selangor tentang perkara berhubung agama Islam di Selangor.

“Oleh itu, melalui peruntukan undang-undang sedia ada ini tidak timbul soal Sultan Selangor perlu mendapat persetujuan dari Dewan Undangan Negeri atau mana-mana pihak lain sebelum sesuatu titah atau nasihat kepada rakyat dikeluarkan oleh Tuanku mengenai hal-ehwal Islam.

“Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan Raja-raja bagi setiap negeri sebagai Ketua Agama Islam dan daripada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan ini, kuasa Raja-raja diberikan melalui peruntukan Undang-undang Tubuh setiap negeri,” kata Salehuddin.

mStar Online Sabtu lalu menyiarkan berita mengenai Zaid yang sedia menghadap Sultan Selangor bagi memperjelaskan isu yang mendakwanya menghina baginda melalui laman blog baru-baru ini.

Menurut Zaid, beliau memberitahu bahawa kuasa Sultan dalam membuat arahan dan perintah tentang hal-hal agama Islam mesti tertakluk kepada persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Agama Islam sesebuah negeri.

Tambah beliau, keputusan tersebut perlu diwartakan sebelum ia dikuatkuasakan sebagai undang-undangan negeri yang sah.

Bagi Zaid sebagai seorang peguam tidak bersetuju bahawa kuasa mengeluarkan arahan dan perintah itu adalah kuasa mutlak yang tidak perlu dirujuk kepada DUN.

Di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) telah memperuntukkan sesiapa yang menghina kuasa Raja yang sah atau mempertikaikan perintah atau titah baginda sebagai Ketua Agama Islam adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dituduh di atas perbuatan tersebut.

Oleh itu, Salehuddin berkata, mana-mana pihak harus sedar tentang implikasi undang-undang sebelum sesuatu kenyataan hendak dikeluarkan.

Menurut beliau, tiada sesiapa boleh mempertikaikan peruntukan undang-undang sedia ada ini selagi ia kekal dan tidak dipinda.

“Kuasa Raja dalam soal hal-ehwal agama Islam telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri semenjak negara mencapai kemerdekaan lagi dan tidak pernah dipinda atau ditarik balik,” katanya.

Artikel Lain