suria

Warga Bangladesh Miliki Lebih 4,000 DVD Tidak Ditapis Didenda RM8,000

KUALA LUMPUR: Seorang penjual DVD warga Bangladesh hari ini didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki lebih 4,000 keping DVD pelbagai tajuk yang tidak diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem, semalam. Majistret Siti Suriatey Mohamed Yussoff menjatuhi hukuman itu terhadap Delowar Hossain, 27, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Sementara itu rakan sekerja Delowar, Tay Wee Kong, 37, yang turut didakwa atas pertuduhan yang sama, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Delowar dan Tay didakwa bersama-sama memiliki 4,142 keping DVD berkenaan yang tidak diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem di Unit 2.11, 1st Floor Wisma Sentral, Jalan Ampang pada jam 3.20 petang, 12 Mei 2010.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen (6)(2)(a) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Peguam S.Narasimhan yang mewakili Delowar memohon agar hukuman ke atas anak guamnya diringankan memandangkan Delowar hanya berpendapatan RM20 sehari dan sering mengikat perut untuk menampung perbelanjaan keluarga dan kedua ibu bapanya yang berada di Bangladesh.

Siti Suriatey kemudiannya membenarkan Tay dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S.Murukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain