suria

16 Ahli KWSP Disabit Kesalahan Menipu Pengeluaran

PETALING JAYA: Seramai 16 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah kerana menipu pengeluaran dari Januari hingga Mac lalu.

Tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha KWSP untuk membanteras kegiatan penipuan pengeluaran oleh ahli.

Semua 16 ahli terbabit telah dihukum dan didenda oleh mahkamah dan 12 ahli daripadanya berkemungkinan dipenjarakan sehingga empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, tindakan mahkamah yang diambil itu jelas menunjukkan polisi toleransi sifar KWSP terhadap sebarang bentuk penipuan.

“KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli yang didapati terlibat dalam penipuan pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam tempoh yang sama, sejumlah 29 saman mahkamah juga telah difailkan bagi kesalahan menipu pengeluaran.

Semua ahli terbabit, termasuk 16 ahli yang telah dijatuhi hukuman didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991.

Di bawah Akta tersebut, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan.

Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan kehilangan hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

Penipuan pengeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran simpanan KWSP mereka.

Sebelum ini, beberapa kes penipuan yang melibatkan pengeluaran pendidikan, kesihatan dan perumahan menggunakan dokumen palsu telah dilaporkan kepada KWSP.

Bagaimanapun, KWSP mempunyai kaedah tersendiri dalam menentukan kesahihan sesuatu permohonan.

Nik Affendi berkata, KWSP mempunyai sistem yang berupaya untuk mengesan sebarang penipuan atau cubaan menipu pengeluaran.

“Ahli yang tidak amanah diingatkan bahawa mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap kesalahan mereka,” katanya.

Artikel Lain