suria

16 Pencarum KWSP Didenda Tipu Pengeluaran

KUALA LUMPUR: Seramai 16 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disabitkan kesalahan oleh mahkamah kerana menipu pengeluaran antara Januari dan Mac tahun ini.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, KWSP berkata, kesemua 16 pencarum itu dihukum dan didenda oleh mahkamah dengan 12 daripada mereka berkemungkinan dipenjarakan sehingga empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 29 saman mahkamah juga difailkan bagi kesalahan menipu pengeluaran.

Semua pencarum terbabit termasuk 16 pencarum yang telah dijatuhi hukuman didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991.

"Tindakan mahkamah yang diambil ini jelas menunjukkan dasar toleransi sifar KWSP terhadap sebarang bentuk penipuan," kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar.

Beliau berkata, KWSP penipuan pegeluaran membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh pencarum bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran simpanan KWSP mereka.

"KWSP mempunyai sistem yang berupaya mengesan sebarang penipuan atau cubaan menipu pengeluaran. Pencarum yang tidak amanah diingatkan bahawa mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap kesalahan mereka," katanya.

Nik Affendi berkata, pencarum dinasihatkan supaya berurusan secara terus dengan KWSP dan tidak memohon bantuan daripada pihak ketiga atau mana-mana sindiket.

Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan penipuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

"Kami ingin mengingatkan pencarum bahawa simpanan KWSP adalah untuk persaraan mereka," katanya.

Beliau menyeru pencarum supaya tidak terlibat atau terpedaya dengan mana-mana sindiket yang menawarkan perkhidmatan bagi mengeluarkan simpanan KWSP mereka secara tidak sah. - BERNAMA

Artikel Lain