suria

Kabinet Setuju Cadangan Penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Jemaah Kabinet semalam meluluskan cadangan untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pelan pembangunan semula kawasan itu yang bakal menjadi antara projek pembangunan hartanah yang terbesar sekali di dunia.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata penubuhan perbadanan itu merupakan antara tiga perkara yang telah dipersetujui oleh kabinet mengenai konsep dan kaedah pelaksanaan pembangunan Kampung Baru yang dikemukakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) dalam memorandumnya kepada kabinet.

Katanya KWPKB akan mengemukakan satu rang undang-undang di Parlimen bagi membolehkan penubuhan perbadanan berkenaan yang akan diletakkan di bawah kementerian berkenaan.

"Perbadanan ini akan mengawal selia pembangunan Kampung Baru antaranya memastikan ciri-ciri penting kawasan berkenaan dipertahankan, khususnya dari segi pemilikan tanah yang merupakan isu sensitif.

"Perbadanan itu antara lain akan memastikan ciri-ciri kebudayaan Melayu perlu ada dalam setiap rekabentuk...beberapa ciri Melayu mesti dikekalkan tetapi dalam suasana moden, ia tidak boleh seperti sekarang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perayaan Hari Pekerja anjuran Persatuan Penduduk Bangsar Baru di Dewan Besar Kompleks Sukan Bangsar di sini, hari ini.

Projek pembangunan Kampung Baru meliputi kawasan seluas 151.57 hektar iaitu lebih luas daripada projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu 40 hektar, yang merupakan antara projek pembangunan hartanah yang terbesar sekali di dunia.

Selain itu, Raja Nong Chik berkata kabinet semalam turut bersetuju bahawa pembangunnan Kampung Baru akan menggunakan konsep pembangunan semula secara komprehensif atau menyeluruh yang akan menggunakan zon guna tanah Perdagangan Pusat Bandar dengan nisbah plot 1:10.

Katanya kabinet juga bersetuju cadangan untuk melantik Perbadanan Nasional Berhad (PNB) atau Yayasan Amanah Harta Bumiputera (YAHB) atau badan-badan lain yang berkaitan sebagai ejen pembangunan dan penjaga amanah orang Melayu dalam melaksanakan pembangunan semula Kampung Baru.

Raja Nong Chik berkata beliau dijangka bersemuka dengan semua pihak yang mempunyai kepentingan di Kampung Baru termasuk penduduk, pemilik tanah dan penjaja pada penghujung bulan ini.

Katanya dalam perjumpaan tersebut, beliau akan membentangkan syor serta perancangan kementerian mengenai pelan pembangunan semula itu di samping mendapatkan persetujuan mereka mengenai pelantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu yang akan bertanggungjawab membangunkan kawasan itu.

Beliau juga ingin mendengar sendiri segala cadangan atau apa sahaja pandangan daripada pemilik tanah Kampung Baru bagi memastikan usaha itu memberikan manfaat kepada semua pihak.

"Saya harap dalam tahun ini semua proses-proses dapat diselesaikan, untuk membolehkan pemilik-pemilik tanah jelas tentang konsep itu, perbadanan diwujudkan, GLC dilantik...pada penghujung tahun itulah sasaran saya sebelum kita meneruskan dengan proses perundangan," katanya.

Menurut beliau, segala maklum balas akan diambil kira untuk dimasukkan dalam perancangan kementerian itu sebelum dibentangkan sekali lagi kepada jemaah menteri.

Kerajaan mahu melihat perancangan itu dipersetujui oleh semua pihak secara menang-menang sebelum meneruskan sebarang langkah pembinaan, katanya.

Raja Nong Chik berkata setakat ini sejumlah 5,000 pemilik tanah sudah dikenal pasti terlibat dalam pelan pembangunan Kampung Baru itu dan kementerian menganggarkan untuk mendapat sekurang-kurangnya 80 peratus pemilik tanah itu untuk bersetuju dengan cadangan projek berkenaan.

Dari segi ganti rugi, Raja Nong Chik sekali lagi menekankan bahawa tidak akan ada mana-mana pihak terutamanya pemilik tanah yang akan menanggung kerugian berikutan projek pembangunan itu. - BERNAMA

Artikel Lain