suria

39 Pati Ditahan Di Tapak Pembinaan

PULAU PINANG: Polis Daerah Timur Laut menahan seramai 39 orang pendatang tanpa izin (PATI) dan seorang warga tempatan yang menjadi "pelindung" mereka dalam satu serbuan di sebuah tapak pembinaan di kawasan Air Itam, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kok Meng berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kesemua rakyat asing yang ditahan itu berusia lingkungan 20-an dan 45 tahun didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat permit.

"Sebanyak 15 daripada mereka yang ditahan adalah lelaki Indonesia, lapan wanita warga Indonesia dan seorang bayi lelaki berumur dua bulan, tujuh lelaki warga Bangladesh, lima lelaki Myanmar, dua wanita warga Myanmar dan seorang lelaki Vietnam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Operasi yang dikenali Ops Rantau itu disertai oleh 50 orang anggota termasuk dari Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan polis.

"Polis juga menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai dipercayai sebagai dalang untuk menyembunyikan pendatang asing itu," kata beliau.

Gan berkata, polis akan mengambil tindakan terhadap majikan terbabit kerana menggaji pekerja yang tidak mempunyai dokumen sah dan jika disabitkan kesalahan, majikan boleh didakwa di bawah Seksyen 55 Peraturan Imigresen 1959/1963 kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah.

"Kesemua warga asing itu akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 iaitu bekerja tanpa permit yang sah dan Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1959/1963 kerana melanggar syarat pas dan permit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain