suria

Polis Sahkan Wanita Dalam Kereta Mati Dipukul

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita yang ditemui dalam kereta kekasihnya di Nilai, Negeri Sembilan semalam, disahkan akibat dipukul dengan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, mangsa dipercayai dibunuh kurang dari tempoh 24 jam dan terdapat kesan lebam di bahagian leher wanita tersebut.

"Siasatan awal mendapati kematiannya berpunca dari kecederaan saraf pada lehernya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan kematian mangsa disebabkan cemburu.

Identiti wanita berumur lingkungan 20an itu belum dapat dikenalpasti kerana tiada dokumen pengenalan dijumpai pada mayat mangsa.

Polis sedang berusaha mengenalpasti identitinya daripada teman lelakinya, 35, yang ditahan reman selama seminggu hingga 8 Mei.

Dalam kejadian pada 10 malam itu, kereta peronda polis mengekori sebuah kereta Kancil yang dipandu oleh suspek dalam keadaan mencurigakan dari Bangi sehingga ke Nilai Spring di Negeri Sembilan.

Siasatan ke atas kereta itu mendapati mayat seorang wanita berbaring di tempat duduk sebelah pemandu.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain