suria

Sistem Penguatkuasaan Automasi Lalu Lintas Mula Dilaksanakan Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan amalan keselamatan bertaraf Dunia Pertama menjadi cara hidup rakyat negara ini dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, Malaysia akan melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automasi (AES) secara berperingkat mulai bulan depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Projek perintis itu akan dimulakan di Perak dan Selangor, manakala pelaksanaannya di seluruh negara dijadualkan bermula pada September tahun ini.

Suret Singh berkata penguatkuasaan undang-undang secara berkesan amat penting dalam mencegah semua pengguna jalan raya daripada melakukan kesalahan dan AES akan memberi tumpuan terhadap mereka yang melanggar had laju serta isyarat lampu merah.

"Undang-undang lebih ketat serta denda lebih tinggi tidak banyak memberi kesan jika mereka yang melakukan kesalahan lalu lintas tidak ditangkap dan dikenakan hukuman.

"Tetapi, meningkatkan kemungkinan ditangkap melalui langkah penguatkuasaan yang berkesan sudah tentu akan mencegah pengguna jalan raya daripada melanggar undang-undang," katanya di sini hari ini.

Suret Singh berkata usaha mengubah set minda dan perilaku pengguna jalan raya daripada mentaliti Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama memerlukan pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya secara berkesan.

Katanya peningkatan jumlah kenderaan dan jalan raya di Malaysia kini jauh mengatasi jumlah sumber dan kemampuan anggota badan penguatkuasa.

Berdasarkan hakikat itu, kata beliau, "Persepsi Akan Ditangkap (POBC)" iaitu kadar kemungkinan akan ditangkap kerana melakukan kesalahan jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya telah menurun antara 25 dan 49 peratus pada tahun-tahun kebelakangan ini.

"Akibatnya, pengguna jalan raya lebih berani melakukan kesalahan jalan raya. Melalui pelaksanaan AES, kami menyasarkan akan dapat meningkatkan POBC kepada 75 peratus pada peringkat permulaan dan kepada 95 peratus dalam tempoh dua tahun pelaksanaannya," kata beliau.

Dalam Laporan Status Global mengenai Keselamatan Jalan Raya 2009 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia menduduki tempat ke-46 daripada sejumlah 172 negara daripada segi catatan jumlah kematian akibat kemalangan melibatkan setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

Laporan itu juga menyebut bahawa kawalan kelajuan merupakan antara langkah berkesan bagi mengurangkan jenayah lalu lintas.

Sebanyak 75,626 kemalangan lalu lintas berlaku di Malaysia pada 1989. Tahun lepas, jumlahnya meningkat hampir lima kali ganda iaitu kepada 397,330, manakala jumlah kematian akibatnya pula meningkat hampir 79 peratus dalam tempoh yang sama.

Kajian JKJR menunjukkan bahawa punca utama berlakunya kemalangan jalan raya adalah perbuatan memandu melebihi had laju yang dibenarkan dan hampir 60 peratus daripada jumlah kemalangan mempunyai kaitan dengan kelajuan.

Bagi mengurangkan jumlah nahas jalan raya, perbuatan melanggar had laju akan menjadi sasaran utama kamera pengesan kelajuan dalam program AES.

"Penguatkuasaan undang-undang secara ketat akan mendorong rakyat Malaysia menghargai lesen memandu yang dikeluarkan kepada mereka, seperti mana mereka menghargai pasport masing-masing. Langkah ini ternyata amat berkesan di dunia maju. Saya ingin melihat perkara ini berlaku di Malaysia. Tindakan membendung perbuatan memandu secara berbahaya perlu dilaksanakan dengan tegas dan tanpa tolak ansur," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain