suria

Najib Ikrar Terus Bekerja Bersungguh-Sungguh

HULU SELANGOR: Sempena ulang tahun pertama pentadbirannya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh dan mendokong amanah rakyat supaya negara terus berjaya.

"Sempena ulang tahun yang pertama ini saya berikrar sekali lagi bersama-sama dengan rakan-rakan saya dalam pentadbiran saya bahawa kami akan bekerja bersungguh-sungguh supaya negara kita ini terus berjaya dan bukan sebaliknya," katanya ketika berucap melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi di sini hari ini.

Najib berkata sepanjang setahun menjadi Perdana Menteri, beliau mengakui bukan mudah untuk mentadbir negara dan memimpin sebuah kerajaan kerana beliau menggalas tugas yang besar yang diberi rakyat.

"Negara Malaysia tidaklah semudahnya untuk ditadbir, saya amat merasai perkara ini apatah lagi setelah diberi kepercayaan untuk menjadi ketua kerajaan dan Perdana Menteri.

"Saya amat memahami dan saya dapat menghayati apa yang saya rasa bahawa tidak mudah untuk kita memimpin sebuah kerajaan Malaysia kita ini, selama tempoh setahun saya menggalas amanah ini saya dapat merasai betapa bebanan yang terpaksa saya pikul di atas bahu saya," katanya.

Najib berkata menjadi ketua kerajaan juga membuatkan beliau insaf kerana perlu berhati-hati dalam membuat keputusan bagi memastikan ia boleh menguntungkan rakyat.

"Mungkin kalau dulu saya jadi menteri pun saya tak rasa sangat, naik setakuk lagi saya jadi timbalan pun saya bukan merupakan kuasa penentu... masih boleh bersandar pada Perdana Menteri.

"Tetapi bila dah jadi Perdana Menteri, saya amat insaf dan saya amat terasa bahawa apa-apa pun yang saya buat keputusan ianya merujuk kepada tanggungjawab saya untuk membuat keputusan yang tepat, keputusan yang boleh menguntungkan rakyat," katanya.

Selain itu, beliau terpaksa berkorban masa dengan keluarga disebabkan tugas dan tanggungjawabnya itu.

"Waktu siang saya semakin panjang, waktu malam saya semakin pendek. Isteri saya pun dah mengadu kat saya, dia kata saya ni dengar masalah orang lain tidak dengar masalah dia, itulah adat bila dah jadi pemimpin negara, saya terima ini semua sebab inilah kepercayaan rakyat berikan pada saya," katanya.

Menyentuh kaji selidik Merdeka Centre yang melaporkan sebanyak 68 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasinya selaku Perdana Menteri, Najib hanya tersenyum.

"Ada juga orang buat kaji selidik katanya tahap penerimaan saya sudah mencecah 68 peratus, katanyalah... saya tak tahulah apa ukuran kepercayaan ini tetapi saya dapat lihat pada wajah tuan-tuan dan puan-puan bila saya bersalaman pagi tadi, nampaknya air muka yang manis.

"Bila saya bersalaman saya dapat current (arus) yang baik, yang positif bukan current yang menyentakkan saya, itu mungkin satu ukuran," katanya disambut sorakan orang ramai.

Najib juga bersyukur sepanjang setahun tempoh pentadbirannya, kerajaan telah membawa banyak perubahan yang menguntungkan rakyat.

"Sesetengah perubahan itu kita dah nampak, sesetengah perubahan itu menunggu masa keberhasilannya, ibarat kita tanam pokok takkan hari ini kita hendak petik buah, ada juga sehari dua boleh nampak kejayaan, ada juga yang makan masa, tetapi saya amat teliti akan perkara ini," katanya.

Beliau juga akan memastikan segala janji BN kepada rakyat akan dilaksanakan kerana perjuangan parti adalah untuk membantu dan membela kepentingan rakyat.

Beliau juga membidas pembangkang yang hanya pandai menabur janji tapi susah untuk merealisasikannya.

"Janganlah janji tapi banyak tak buat, janji bagi ibu tunggal RM600 sebulan, tidak buat, soal pasir pun macam-macam isu sampai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) masuk, sebab apa, sebab bila jadi pembangkang mudah, jadi kerajaan baru tahu.

"Kita dah lama tahu mentadbir negara kita, BN tahu dan ada pengalaman memimpin negara kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain