suria

Nik Aziz Kekal Mursyidul Am PAS

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am parti itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Majlis Syura Ulama yang bermesyuarat hari ini juga mengambil keputusan untuk mengekalkan jawatan Timbalan Mursyidul Am yang kini disandang oleh Datuk Dr Haron Din.

"Kami telah mengambil keputusan penting iaitu melantik Datuk Nik Aziz untuk terus memegang jawatan Mursyidul Am dan menyambung jawatan Datuk Haron Din sebagai timbalan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata tempoh perkhidmatan bagi kedua-dua jawatan itu adalah selama lima tahun.

Mengulas mengenai hasrat Nik Abdul Aziz yang membayangkan agar tidak dilantik semula ke jawatan Mursyidul Am PAS, Abdul Hadi berkata, perlantikan tersebut bersesuaian kerana menurut beliau hanya Menteri Besar Kelantan itu yang layak untuk mengisi jawatan berkenaan.

"Itu satu moral yang tinggi dan amat kami hargai, memang dalam Islam kita diajar supaya tidak meminta-meminta jawatan dan kita tak berebut jawatan.

"Islam juga mengajar agar orang yang tidak meminta jawatan itu yang layak dilantik," katanya.

Ditanya sama ada PAS tidak tidak mempunyai calon yang layak untuk menggantikan kedudukan berkenaan, Abdul Hadi berkata: "Ramai yang layak dan kita anggap beliau yang lebih layak daripada orang lain kerana dalam budaya perjuangan islam tak ada persaraan dalam hidup."

Nik Abdul Aziz bagaimanapun tidak hadir pada mesyuarat Majlis Syura Ulama hari ini.

"Tuan guru Nik Aziz tak hadir, tapi kita akan menghantar surat kepadanya dan kita harap beliau akan terima," katanya.

Abdul Hadi juga berkata parti itu masih memerlukan Nik Abdul Aziz untuk meneruskan perjuangan dalam PAS.

"Kita mahu beliau meneruskan perjuangan, yang penting ialah keilmuan dan dan penghormatan daripada ahli PAS," katanya.

Mengenai tahap kesihatan yang kurang memuaskan seperti yang dibangkitkan sendiri Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi berkata beliau masih yakin pemimpin veteran itu berupaya menjalankan tugas dengan dibantu oleh ahli jawatankuasanya.

"Tanggungjawab ini dipikul bersama secara kolektif dan bukan individu, sehingga hari ini beliau masih boleh jalankan tugas Menteri Besar, maka tugas Mursyidul Am juga boleh dilaksanakan," katanya.

Artikel Lain