suria

JHEOA Pohon RM800 Juta Untuk Pembangunan Orang Asli Dalam RMK-10

GUA MUSANG: Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) memohon peruntukan RM800 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek yang dirancang bagi meningkatkan kemajuan masyarakat Orang Asli di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JHEOA, Nisra Nisran Asra Ramlan berkata sebahagian besar peruntukan itu akan dibelanjakan untuk meningkatkan pendidikan di kalangan anak Orang Asli selain pelaksanaan projek kemudahan asas di 869 kampung untuk dinikmati 13,000 keluarga di seluruh negara.

Katanya, beliau menjangkakan apabila dilaksanakan, ia dapat memberi kemajuan lebih tinggi dalam pendidikan anak Orang Asli kerana sasarannya seramai 112 pelajar kaum itu berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

"Keadaan itu semakin berubah sejak kebelakangan ini kerana penduduk Orang Asli sedar mereka ketinggalan dalam mengejar kemajuan itu, menyebabkan mereka kini berminat menghantar anak ke sekolah," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Tabung Bantuan 1Malaysia untuk kemajuan pelajaran masyarakat Orang Asli seluruh negara di Kampung Kuala Betis, dekat sini hari ini.

Pelancaran tabung itu dilakukan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Md Yusoff Ab Ghani.

Nisra Nisran berkata pencapaian pendidikan pelajar anak Orang Asli semakin membanggakan setiap tahun dan ini membuktikan mereka ada keupayaan serta minat dalam mengejar kemajuan pendidikan sehingga ke peringkat pengajian tinggi. - BERNAMA

Artikel Lain