Aktiviti Lasak Lahirkan Rakyat Cergas: Rosmah - Semasa | mStar

Aktiviti Lasak Lahirkan Rakyat Cergas: Rosmah

KUALA LUMPUR: Perkembangan aktiviti rekreasi dan lasak seperti kegiatan mendaki gunung adalah selari dengan usaha kerajaan untuk melahirkan rakyat yang cergas daripada segi fizikal dan mental, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan rakyat yang tahan uji, berani menyahut dan berdepan dengan pelbagai cabaran sekiranya mahukan kejayaan yang berterusan.

"Seperti aktiviti mendaki gunung yang mengajar kita supaya banyak bersabar, berani bila berdepan cabaran, disiplin dan bersungguh-sungguh menjayakan sesuatu aktiviti," kata beliau ketika merasmikan prapelancaran Projek Misi Perdana de' EVEREST 2011, di sini hari ini.

Projek itu merupakan projek Persatuan Kembara Negara yang diterajui bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Dr Khalid Yunus bersama enam pendaki lain untuk mendaki puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest, pada Mei tahun depan.

Rosmah mengakui cabaran untuk mendaki Everest memerlukan perancangan yang teliti, latihan yang sistematik dan perbelanjaan besar.

"Sejak tahun 1997, apabila kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia mendaki ke puncak Everest, pelbagai bantuan termasuk kewangan diberikan tetapi selalunya tidak mencukupi," katanya.

Di sebalik kekurangan tersebut katanya, 11 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita, Marina Ahmad, telah menakluki puncak tertinggi dunia itu dan memacak bendera Malaysia pada ketinggian 8,848 meter.

"Saya juga berasa bangga kerana pada misi akan datang ini, seorang lagi wanita Malaysia akan ke Everest. Ini menunjukkan rakyat Malaysia mampu dan boleh berbuat apa sahaja sekiranya diberi peluang dan mendapat sokongan dari pelbagai pihak," katanya.

Tujuh pendaki yang terlibat dalam Projek Misi Perdana de'EVEREST 2011 ialah Dr Khalid Yunus, Mohd Illaham Ishak, Shahrul Azuan Shahruddin, Zainul Fikri Mohd Idrus, Mohamad Shaheir Sabaruddin, Mohd Dendera Billah Zamzuri dan Roslizawati Rashidi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Pengarah Eksekutif Didakwa Menipu

Lebih Artikel