suria

Giant Buka Hypermarket Pertama Di Sarawak Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Giant, peruncit pasar raya besar di bawah GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, bersedia membuka satu lagi cawangan di Sibu pertengahan tahun depan.

Majlis pecah tanah bagi projek pasar raya bernilai RM12 juta itu akan dilakukan esok, dan dijangka siap pada Jun tahun depan. Ia juga merupakan pasar raya besar pertama Giant di Sarawak.

"Sudah tiba masanya kami membina pasar raya besar di Sibu bagi memenuhi permintaan terhadap konsep runcit moden untuk penduduk bandar tepi pantai yang membangun ini," kata Pengarah Pasaran GCH, Ho Mun Hao dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ho, pasar raya itu akan mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu.

"Pada masa yang sama, peniaga dan usahawan tempatan berpeluang menyewa di kompleks pasar raya itu untuk menjalankan perniagaan masing-masing," katanya.

Menurut Ho, pasar raya itu akan memberi tumpuan terhadap mempromosi industri berdasarkan pertanian dan berkaitan makanan, dengan produk terbabit akan diedarkan serentak kepada semua cawangan Giant di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain