suria

Setiausaha Majlis Daerah Simpang Renggam Didakwa Terima Rasuah RM50,000

JOHOR BAHARU: Setiausaha Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan menerima suapan bernilai RM50,000, tahun lepas.

Mohd Helmi Sha'ri, 29, minta dibicarakan dengan alasan dijadikan "kambing hitam" terhadap keduadua tuduhan itu.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Helmi didakwa menerima suapan sekeping cek bank RHB bernombor 835770 bertarikh 13 April 2009 berjumlah RM48,000 daripada Zainal Abidin Ibrahim bagi membiayai pakej lawatan ke Indonesia pada 23 April hingga 27 April 2009, di Restoran Indahpura, Jalan Kenanga 29/14, Kulaijaya, kirakira pukul 2.45 petang hingga 3.45 petang, 13 April 2009.

Suapan itu sebagai dorongan membantu Zainal Abidin mendapat kerja menaiktaraf dan menurap jalan di kawasan Simpang Renggam iaitu menaiktaraf sistem perparitan di Kampung Shaari/Jalan Masjid Lama, bernilai RM192,000 kepada Hazju Enterprise, menaiktaraf sistem perparitan di Kampung Parit Majid Ibrahim, bernilai RM192,000 kepada perniagaan Yadaha dan kerja menaiktaraf sistem perparitan di kawasan Kampung Melayu, bernilai RM96,000 kepada Needza Enterprise.

Turut termasuk dalam dorongan itu adalah untuk mendapatkan kerja menurap semula jalan tar di Taman Renggam Jaya, bernilai RM255,841.70 kepada Rozlynn Enterprise, menurap semula jalan tar di Taman Mohd Yassin bernilai RM170,685 kepada Syarikat Aznor Construction serta menurap semula jalan tar di Taman Ria dan Taman Nagaria bernilai RM118,543.50 kepada Moliah Enterprise, di mana kerjakerja tersebut dikeluarkan oleh MDSR yang kesemuanya bernilai RM1.025 juta.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Helmi didakwa menerima suapan sekeping cek bank Muamalat bernombor 605281 bertarikh 13 April 2009 berjumlah RM2,000 juga daripada Zainal Abidin bagi membiayai pakej lawatan yang sama, di restoran, itu pada waktu dan tarikh yang sama sebagai dorongan yang sama iaitu untuk mendapat kerja menaiktaraf dan menurap jalan tar di kawasan Simpang Renggam berkenaan.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24, akta yang sama, yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi dan penjara tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Mohd Helmi memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan dianiaya selain perlu menanggung isteri dan seorang anak, membayar sewa bulanan rumah dan ansuran kereta.

Hakim Aliman Musri kemudian memutuskan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 hingga 18 Mac tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Syafinas Shabudin manakala Mohd Helmi diwakili peguam Rosli Kamarudin. - BERNAMA

Artikel Lain