suria

Pindaan Akta 134 Dibentang Di Parlimen 2010

SUNGKAI: Beberapa pindaan ke atas Akta 134, Akta Orang Asli 1954 akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan untuk kelulusan bagi membolehkan masyarakat Orang Asli di negara ini menerima pemberian hak milik tanah seperti yang dinikmati oleh masyarakat lain.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pindaan tersebut yang antara lain melibatkan aspek seperti takrifan Orang Asli, pembahagian harta pusaka dan perkara berkaitan telah pun dipersetujui oleh Majlis Tanah Negara yang mengadakan mesyuaratnya baru-baru ini.

"Majlis Tanah Negara telah pun bersidang dan memanjangkan perkara ini ke pejabat Peguam Negara untuk diperhalusi bagaimana pindaan Akta 134 akan kita bawa ke Parlimen untuk membolehkan Orang Asli mendapat hak milik tanah seperti masyarakat yang lain," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Jejak Siswa Pelajar Orang Asli 2009 di Felda Residence Trolak, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, Akta 134 sedia ada hanya membolehkan sesuatu kawasan tanah itu diwarta dan dirizabkan untuk masyarakat Orang Asli tanpa diberikan hak milik kepada mereka.

Akta 134, Akta Orang Asli 1954 dipinda kali terakhir pada 1967 serta disemak pada 1974 dan Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Menteri untuk meningkatkan pelaksanaan projek-projek Luar Bandar pada 7 Ogos 2001 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri berpendapat bahawa akta tersebut tidak lagi sesuai dengan keadaan sekarang dan perlu dikaji semula.

Jabatan Peguam Negara pada 8 Ogos 2007 dalam ulasan ke atas Kertas Memorandum Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah kepada Orang Asli turut memberi pandangan terhadap keperluan pindaan kepada Akta 134 bagi memenuhi atau membolehkan pelaksanaan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah kepada masyarakat Orang Asli dibuat. - BERNAMA

Artikel Lain