suria

2009 Tahun Penuh Cabaran Buat Nik Aziz

KOTA BHARU: Tahun 2009 bagi Kelantan dipenuhi dengan pelbagai polemik termasuk yang jarang-jarang berlaku iaitu integriti Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dipersoal.

Setelah hampir dua dekad menerajui Kelantan, Nik Aziz, 78, yang sebelum ini bebas daripada sebarang kontroversi peribadi, tiba-tiba berdepan dengan dakwaan yang beliau mengamalkan nepotisme dan kronisme.

Dua isu peribadi, iaitu tajaan untuk beliau mengerjakan haji oleh sebuah syarikat dan pelantikan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), telah menarik perhatian umum.

Sejak awal November, imej Nik Aziz, sebagai tokoh agama yang dianggap tidak pernah melakukan kesalahan, tercemar dengan tuduhan dari pelbagai pihak yang mempersoalkan beberapa tindakan beliau.

Kemelut mula melanda apabila media mendedahkan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap Abdul Ariffahmi pada 5 November lalu kerana didakwa melakukan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sejak dilantik ke jawatan itu.

Selepas itu timbul pula laporan mengenai tajaan mengerjakan haji untuk Nik Aziz bersama keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi berharga RM65,000 setiap seorang oleh sebuah syarikat. Nik Aziz yang mengaku menerima tajaan itu akhirnya membuat keputusan menolak tajaan itu disebabkan tekanan daripada pelbagai pihak.

Pelantikan menantunya dilihat oleh Pas sebagai sesuatu yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada parti sehingga beberapa pemimpinnya menemui Nik Aziz bagi menasihatkannya supaya meminta Ariffahmi meletak jawatan.

Walaupun Ariffahmi bersetuju membuat demikian pada Mac tahun depan, terdapat desakan daripada kalangan Pas sendiri supaya ini dipercepatkan.

Dalam kekecohan itu, timbul pula permintaan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, supaya Nik Abdul Aziz menamakan penggantinya sebagai pemimpin negeri itu bagi memastikan proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar.

Nik Aziz berkata beliau memang mempunyai pelapisnya tetapi tidak mendedahkan siapa penggantinya, dan ini menimbulkan pelbagai pertanyaan.

Beliau juga pernah mendakwa terdapat seorang bernama 'Kolonel Mat' yang merancang untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan. Sehingga kini kewujudan kolonel itu terus menjadi misteri.

Nik Aziz mengundang kemarahan rakyat apabila meminta orang ramai mendoakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditimpa musibah jika tidak memberikan royalti minyak kepada Kelantan. Banyak pihak berpendapat tindakan Nik Aziz itu tidak melambangkan keperibadian beliau sebagai seorang ulama.

Selain politik, berita mengenai Kelantan juga membabitkan keluarga diraja. Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra, yang mengalami masalah jantung, kini dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Anakanda baginda, Tengku Muhammad Fakhry Petra pula mendapat liputan media bukan sahaja berkaitan kes berkaitan perkahwinannya dengan warga Indonesia, Manohara Odeline Pinot, tetapi juga tindakan undang-undang yang diambilnya terhadap keputusan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra selaku Pemangku Raja Kelantan, melucutkannya daripada senarai bakal pewaris takhta. - BERNAMA

Artikel Lain