suria

240 Peragut Ditahan Di Johor Sejak Januari

JOHOR BAHARU: Polis Johor menahan 240 orang peragut sejak Januari lalu sehingga kini di mana seramai 40 orang daripadanya telah dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, ia termasuk empat tangkapan terbaru pada 8 Disember lepas yang membabitkan mereka berumur antara 20 hingga 27 tahun.

"Mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Asisten Supritendan (ASP) kepada 45 anggota polis dan penyerahan jaket trafik, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan pengawasan bagi menjamin keselamatan orang awam di negeri ini dari menjadi mangsa kekejaman peragut.

Mohd Mokhtar, dalam pada itu turut meminta orang ramai supaya menyalurkan pandangan, idea dan komen di ruang yang disediakan di portal Polis Kontinjen Johor, www.polisjohor.gov.my untuk menambah baik kualiti perkhidmatan pasukan berkenaan.

Beliau berkata, portal itu yang menjadi salah satu medium saluran maklumat dan aduan kegiatan jenayah, direkodkan dilayari 102,000 pengunjung sejak dilancarkan dua tahun lepas. "Komen, idea dan cadangan orang ramai khususnya dari aspek pencegahan dan membanteras jenayah diharap dapat mencapai matlamat pengurangan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus dan jenayah indeks sebanyak lima peratus pada akhir tahun depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain